Pages

Wednesday, November 23, 2016

Tips Persediaan Percutian

Assalamualaikum.
Salam blogging

Hari ni saya nak berkongsi mengenai tips persediaan percutian dengan anda. Maklumlah.. cuti sekolah bakal menjelang beberapa hari lagi. Pasti ramai ibu bapa yang telah merancang untuk pergi bercuti bersama keluarga di musim cuti sekolah nanti.

Sebelum anda berangkat ke destinasi percutian idaman, pastikan anda dalam keadaan sihat. Bagaimanapun, anda tidak tahu apa yang bakal terjadi pada masa akan datang kerana tiada siapa boleh menduga ketika dalam perjalanan anda berasa sakit kepala, bersin mahupun demam. Apatah lagi, perubahan suhu tempat yang ditujui adakalanya menyebabkan kesihatan anda terganggu.

Kata orang, mencegah lebih baik daripada mengubati. Justeru, sebelum senario buruk  itu terjadi, mengubati adalah satu-satunya pilihan terbaik.Atas sebab itu, saya sertakan beberapa tips sebagai persediaan percutian anda sekiranya ditakdirkan anda jatuh sakit ketika melancong.

Tips Percutian

1. Maklumkan keadaan anda kepada pramugari

Sekiranya anda bercuti dengan menaiki kapal terbang, jika anda berasa sejuk dalam penerbangan ketika ke destinasi percutian, jangan ragu-ragu untuk memberitahu kepada pramugari yang anda tidak sedap badan. Ini akan dapat membantu anda kerana pramugari akan memberikan anda selimut, bantal atau ubat supaya anda berasa lebih selesa.

2. Banyakkan minum air kosong

Anda dinasihatkan untuk meminum air kosong satu gelas setiap 15 minit. Ini adalah merupakan satu cara yang baik kerana tubuh kita memerlukan air yang banyak. Apabila air kurang dalam badan, anda mudah diserang penyakit terutama selesama, batuk dan demam.

3. Rehat yang cukup

Berehat selama beberapa jam ketika anda berasa kurang sihat. Jangan memaksa diri kerana percutian anda akan menjadi sia-sia jika badan anda berasa sakit. Keadaan juga mungkin akan menjadi lebih teruk jika anda terus berdegil untuk meneruskan percutian kerana anda mungkin boleh pengsan ketika bersiar-siar atau ketika dalam perjalanan.

4. Tidur yang cukup

Tidur adalah sangat baik untuk membantu mengembalikan kecergasan dan kesihatan tubuh anda. Hal ini kerana, selepas bangun daripada tidur yang cukup, anda akan berasa lebih segar dan sihat. Sekiranya anda diserang selesema dan berasa tidak tahan dengan gejala yang dialami, ambil ubat selesema atau demam terlebih dahulu sebelum tidur.

5. Beritahu pihak hotel

Pastikan pihak hotel tempat anda menginap tahu tentang keadaan kesihatan anda yang sedang sakit. Ini kerana, pihak hotel boleh membantu anda daripada pelbagai aspek terutama membawa anda ke hospital atau klinik jika keadaan anda semakin teruk.

6. Sediakan ubat-ubatan

Ketika melancong, bawalah bersama anda ubat-ubatan yang boleh mengubati kesakitan yang sering menyerang anda ketika melancong seperti ubat selesema, batuk, demam, ubat antimabuk dan ubat-ubatan yang bersesuaian. Pastikan juga anda membawa baju panas atau jaket walaupun anda bercuti ke tempat yang tidak terlalu sejuk. Ini adalah satu langkah berjaga-jaga terutama apabila anda mengalami selesema. Biasanya, sekiranya anda mengalami selesema, badan akan menggigil walaupun tempat yang dikunjungi itu mempunyai suhu yang panas.

7. Berjumpa dengan doktor

Apabila semua tips sudah dicuba tetapi keadaan kesihatan anda masih juga sama, anda hendaklah berjumpa segera dengan doktor. Dengan pemeriksaan yang dilakukan oleh doktor, anda pasti mendapat ubat yang sesuai dan terbaik untuk sakit yang anda alami. Selain itu, dengan cara ini anda dapat mencegah kesakitan yang anda alami daripada berlarutan yang akhirnya akan merosakkan keseluruhan percutian idaman anda.

8. Kebaikan insurans perjalanan

Insurans perjalanan biasanya sering diabaikan kerana ramai yang beranggapan ianya tidak penting. Namun, apabila sakit ketika bercuti, ketika itulah perkhidmatan yang ditawarkan oleh insurans sangat diperlukan. Dengan adanya insurans, segala kos perubatan anda akan ditanggung oleh syarikat insurans dan anda tidak perlu mengeluarkan wang.

*******************************

Demikianlah, beberapa tips persediaan percutian untuk anda terutamanya ketika anda berasa tidak sihat ketika melancong dan bercuti. Mungkin anda boleh gunakan tips-tips di atas untuk menghadapi saat-saat yang kurang menyenangkan ketika anda pergi bercuti. Semoga perkongsian kali ini dapat memberi sedikit manfaat kepada para pembaca sekalian.

Assalamualaikum dan jumpa lagi di entri yang lain pula.. XoXo


No comments: