Lama tak bersiaran.. almaklumlah. Mood bercuti di hujung tahun. Nak-nak pulak musim hujan.. tu yang ke laut jadinya.. haha. ---> Alasan semata-mata
Ok.. arini saya nak berkongsi sedikit kisah yang boleh dijadikan tauladan untuk kita. Dalam slot kisah dan tauladan harini saya nak berkongsi kisah mengenai: ilmu lebih bermanfaat jika dikongsi. Saya rasa.. korang mesti pernah alami peristiwa di mana ada dikalangan kawan korang yang kadang-kadang agak kedekut ilmu.
Contoh: korang tak faham macam mana nak selesaikan masalah matematik atau matapelajarn subjek lain. Pastu korang tanyalah kawan korang. Pastu dia pun jawab macam acuh tak acuh jer.. ajar pun macam tak ikhlas. Pernah tak??
Atau dalam situasi semasa, mintak share resepi kat FB. Member punyalah share gambar masakan atau kek-kek menarik. Pastu bila nak mintak resepi sikit punya kemut.. huhhuu. Siap sindir lagi.. pergilah belajar sendiri. I pergi kelas bayar mahal-mahal tau.. senang-senang nak mintak resepi!! haa korang..??!! pernah tak alami situasi camni?
So, atas sebab itu, arini saya nak berkongsilah sedikit kisah khasnya untuk mereka yang kadang-kadang berkira nak berkongsi ilmu. Ingat ya saudara/ri.. ilmu tu daripada Allah.. kalau kita suka berkongsi ilmu, in shaa Allah, Allah akan tambah lagi ilmu kita. Bak kata pepatah.. takkan hilang bisa ular yang menyusur akal. Jadilah kita seperti padi.. makin berisi makin menunduk. Eh..!! masih tak cerita lagi ke? hehe.. oraitt.. jom kita baca kisah bawah ni.
Ilmu lebih manfaat jika dikongsi
Abu dan Baba ialah dua orang pemancing hebat yang sering mendapat banyak ikan setiap kali memancing. Pernah satu ketika, ketika kedua-duanya sedang memancing, datang 10 pemancing lain memancing berdekatan mereka. Seperti biasa, mereka mendapat ikan yang cukup banyak, sedangkan 10 pemancing tadi hanya melihat dengan cemburu dan mampu menggigit jari sahaja kerana tidak mendapat seekor ikan pun.
Kesemua 10 pemancing itu kemudiannya ingin belajar daripada mereka rahsia dan teknik memancing yang baik. Tetapi abu nampak seperti kurang senang dengan permintaan pemancing-pemancing itu. Sebaliknya Baba menunjukkan sikap berbeza. Dia bersedia menjelaskan teknik dan rahsia memancing kepada 10 pemancing tersebut dengan satu syarat.
Kesemua pemancing itu mesti memberikannya seekor ikan jika mereka berjaya mendapat 10 ekor ikan. Tetapi jika kurang daripada 10 ekor ikan, mereka tidak perlu memberinya apa-apa. Setelah syarat itu dipersetujui, Baba mengajar mereka teknik dan rahsia terbaik memancing. Tidak sampai 2 jam, kebanyakan pemancing-pemancing itu mendapat sekurang-kurangnya sebakul ikan.
Secara tidak langsung, Baba juga mendapat keuntungan daripada kejayaan pemancing-pemancing itu menaikkan banyak ikan. Selain mendapat 'bonus' ikan daripada pemancing yang dibimbingnya, Baba juga mendapat 10 orang kawan baru. Sementara rakannya Abu yang agak kedekut ilmu, tidak mendapat keuntungan sebesar keuntungan Baba yang pemurah dan tidak lokek ilmu untuk dikongsi dengan orang lain.
Moral:
Kisah di atas menunjukkan bahawa ilmu pengetahuan akan lebih bermanfaat jika diamalkan dan dikongsi bersama. Tindakan itu selain menjadikan kita lebih menguasai ilmu, juga mendapat keuntungan daripada segi kewangan, hubungan sosial dan lain-lain.
"Jika anda membantu lebih ramai orang untuk mencapai impiannya, impian anda juga akan tercapai." kata Zig Ziglar, seorang pakar motivasi terkenal Amerika Syarikat.
Bentuk bantuan tidak semestinya wang ringgit, ilmu dan sebagainya. Tetapi juga dalam bentuk kasih sayang, perihatin, kejujuran, motivasi, bimbingan dan sebagainya yang termampu diberikan. Kebiasaan berkongsi seperti itu selain memudahkan kita memperluas jalinan hubungan sosial, juga dapat membangunkan keyakinan diri kerana merasa kehidupan kita lebih bererti.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment