Pages

Tuesday, November 8, 2016

Pandangan Positif Terhadap Kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Bagaimana dengan hari anda pada hari ini? Diharapkan hari-hari yang anda lalui dipenuhi dengan kecerian dan kesejahteraan hendaknya.

Sebagai manusia, kita tidak akan terlepas daripada menghadapi ujian dan masalah dalam melalui kehidupan ini. Ada yang diuji dengan masalah kesihatan.. masalah keluarga.. masalah di tempat kerja dan sebagainya. Namun begitu, kita tetap perlu menempuhi kehidupan ini walau sebesar manapun ujian yang sedang kita hadapi. Apa yang penting adalah bagaimana kita menangani ujian tersebut.

Ingatlah.. ujian itu datangnya daripada Allah.. Mungkin kita terlalu leka dengan kehidupan dunia sehingga mengabaikan suruhan-Nya. Justeru, Allah bagi kita sedikit ujian supaya kita kembali dan mendekatkan diri kepada-Nya... Meminta dan merayu hanya pada-Nya. Bagi saya.. ujian ini juga suatu nikmat.. dan kita perlu bersyukur kerana dengan ujian kita mula mencari Tuhan. Kita mula merayu, mengadu dan meminta kepada Allah yang mana mungkin sebelum ini sujud dan doa kita hanya sekadar melepaskan tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya. Tapi dengan ujian.. kita mula mencari-Nya. Kita meminta dan merayu hanya pada-Nya. Allah rindu nak dengar kita meminta, merintih dan merayu pada Dia. Atas sebab itulah Dia bagi ujian pada kita. Alhamdulillah, bersyukurlah kerana Allah masih ingat pada kita dengan mengirimkan ujian-Nya, walaupun kita jarang-jarang ingat pada Dia.

Jadi, pada hari ini, saya ingin berkongsi sebuah kisah dan teladan mengenai Pandangan positif terhadap kehidupan. Semoga dengan kisah ini, dapat memberi sedikit motivasi kepada mereka yang sedang diuji dengan masalah. Ingatlah.. Allah sentiasa bersama dengan orang yang benar dan sabar.

Pandangan Positif Terhadap Kehidupan

Ada seorang lelaki tua yang hidup sederhana di sebuah kampung. Pada suatu hari dia melihat pokok betik di hadapan rumahnya telah berbuah dua biji dan sedang masak menguning. Buah-buah betik itu sudah sedia untuk dipetik. Lelaki tua itu bercadang untuk memetik buah itu keesokan harinya. Bagaimananpun, pagi esoknya dia mendapati sebiji daripada buah betik itu hilang dicuri orang.

Lelaki tua itu begitu sedih melihat keadaan itu sehingga menimbulkan rasa hairan kepada isterinya.

"Takkanlah hanya kerana sebiji betik hilang, abang bersedih sedemikian rupa?" ujar isterinya.

"Bukan itu yang abang sedihkan," jawab lelaki tua itu.

"Abang sedang memikirkan bagaimana sukarnya pencuri untuk mengambil buah betik ketika itu. Dia perlu datang senyap-senyap di tengah malam agar tidak diketahui orang"

"Itu belum lagi usaha untuk memanjatnya. Pokok betik itu tinggi dan buahnya jauh di atas. Tentu pencuri itu terpaksa bekerja keras untuk memetik buah betik itu," ujarnya.

Sehubungan itu, kata lelaki tua berkenaan, dia akan meletakkan tangga di bawah pokok betik itu supaya apabila pencuri itu datang semula malam nanti, dia tidak perlu bersusah payah lagi untuk mengambil baki sebiji lagi buah betik itu.

Bagaimanapun, ketika bangun tidur pagi esoknya, lelaki tua itu mendapati buah betik yang berbaki sebiji itu masih ada dan tangga pada batang pokok betik itu juga seperti tidak terusik. Lelaki itu cuba bersabar dan berharap pencuri tersebut akan datang lagi pada sebelah malam nanti. Tetapi apabila menjelang pagi, dia mendapati buah betik itu masih ada di tempatnya.

Pada sebelah petangnya lelaki tua itu dikunjungi seorang tetamu yang membawa dua biji buah betik besar ditangannya. Dia belum pernah melihat tetamu itu sebelum ini. Setelah berbual-bual, tetamu itu dengan kesal bahawa dialah yang mencuri buah betik lelaki itu.

"Sebenarnya" kata tetamu itu,

"Pada malam berikutnya, saya ingin mencuri baki sebiji lagi buah betik itu. Tetapi apabila saya menemukan tangga di pokok betik itu, saya sedar dan insaf. Sejak itu saya bertekad tidak akan mencuri lagi.

"Oleh itu, saya pulangkan betik tersebut dan sebagai menebus kesalahan, saya hadiahkan sebiji lagi buah betik yang saya beli di pasar untuk tuan," katanya.

RENUNGAN:

Hikmah yang boleh diambil daripada kisah tersebut ialah tentang keikhlasan, kesabaran, kebajikan dan pandangan positif terhadap kehidupan.

Mampukah kita bersikap positif ketika kita kehilangan sesuatu yang amat disayangi. Mampukah kita bersikap ikhlas dengan mencari sisi baiknya dan melupakan sakitnya sesuatu 'musibah'.

"Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, tidak berterima kasih kepada Tuhannya dan sesungguhnya manusia itu menyaksikan (sendiri) keingkarannya dan sesungguhnya dia sangat bakhil kerana cintanya kepada hartanya."
 [Al 'Aadiyaat 6-8]

No comments: