Pages

Thursday, January 12, 2017

Kegagalan Kerana Malas Belajar

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..
Apa khabar sahabat-sahabat pembaca sekalian. Alhamdulillah, hari ni dah masuk hari yang ke-12 di tahun baharu 2017. Rasanya, masih belum terlambat untuk saya mengucapkan SELAMAT TAHUN BAHARU 2017 kepada para pembaca sekalian. Semoga tahun 2017 ini akan melakar pelbagai kejayaan buat anda semua.

Alhamdulillah... sesi persekolahan juga telah masuk minggu yang kedua. Pasti semasa hari pertama persekolahan tempoh hari, ibu bapa sibuk menguruskan pendaftaran anak-anak mereka. Sebenarnya, sebelum tu lagi mereka dah sibuk untuk membuat persiapan kelengkapan persekolahan anak-anak. Bagi saya, tahun ni saya tak membuat persiapan sebelum persekolahan kerana di PASTI tempat anak saya sekolah, mereka sudah sediakan beg dan alat tulis. Cuma bawa badan je.. hehe.

Kepada adik-adik yang baharu memulakan sesi persekolahan, abang harap biarlah momentum nak ke sekolah dan semangat untuk belajar tu berkekalan hingga ke akhir tahun. Semoga adik-adik akan beroleh kejayaan di dalam pelajaran.

Bersempena dengan sesi persekolahan yang baharu bermula.. hari ni abang nak berkongsi kisah yang boleh dijadikan motivasi untuk adik-adik sebagai pemangkin untuk menjadi insan yang berjaya di dalam pelajaran mahupun kehidupan. Kisah dan teladan kita hari ni bertajuk Kegagalan Kerana Malas Belajar.

Kegagalan Kerana Malas Belajar

Pada suatu hari, ada seorang tua yang sekian lama bertapa di dalam sebuah gua ingin membina sebuah rumah. Selama ini, dia hidup dalam sebuah gua yang kecil. Perkara pertama yang dilakukannya ialah turun ke kaki gunung untuk membeli alat pemotong kayu di kedai peralatan di pekan terdekat.

"Saya ingin pindah dari gua dan membina rumah sendiri dari kayu," katanya dengan bangga kepada pemilik kedai tersebut. Lalu dia menyambung, "Jadi saya perlu alat pemotong kayu yang paling baik, tiada masalah berapa pun harganya."

Pemilik kedai itu segera menuju ke gudang penyimpanan barang dan kembalai dengan sebuah mesen gergaji yang nampak kuat dan berkilat. "Ini alat pemotong yang terbaik di pasaran," kata pekedai itu.

"Dengan alat ini awak mampu menebang kayu seperti pisau memotong mentega. Saya jamin dengan alat pemotong kayu ini, pekerjaan memotong dan menebang kayu yang memakan waktu sebulan, boleh diselesaikan dalam satu hari sahaja. Jika tidak, saya kembalikan wang," ujarnya lagi.

Orang tua itu sangat tertarik dengan penjelasan pemilik kedai peralatan itu tadi. Lalu dia membeli gergaji tersebut dan kembali semula ke gua tempat dia bertapa.

Sebulan kemudian, ketika pekedai itu sibuk menguruskan kedai, dia mendengar suara teriakan orang tua itu, "Hai orang muda, saya datang untuk memulangkan alat pemotong kayu ini. Tolong kembalikan wang saya seperti yang awak janjikan dahulu."

Pemilik kedai itu memandang wajah orang tua tadi. Dia terkejut melihat penampilan orang tua itu yang tidak terurus. Orang tua itu kelihatan seperti tidak tidur berminggu-minggu. Kelihatan bekas tompok-tompok darah dan peluh pada pakaiannya. Nampak seperti dia bekerja keras setengah mati.

"Apa sudah jadi dengan pak cik? Wajah pak cik kelihatan cengkung dan tidak bermaya," tanya pekedai itu terkejut.

Dengan sisa-sisa kekuatan yang ada padanya, orang tua itu mengangkat mesin gergaji itu ke atas meja. Sambil merungut-rungut, dia berkata, "Alat pemotong kayu apa yang kau jual ni?

"Kau kata alat ini mampu menebang pokok dalam sehari sahaja. Saya sudah gunakan alat pemotong ini selama 30 hari, tetapi kerja saya belum selesai juga. Seperti yang engkau janjikan, tolong pulangkan wang saya."

Pekedai itu hairan dan meminta maaf sambil berkata, "Tentu!!! janji harus ditepati. Tetapi biar saya periksa dahulu alat ini. Mungkin ada yang tidak kena." Lalu pekedai itu menarik tali yang ada pada gergaji dan mesin itu berbunyi, "brrrrr!!!"

Disebabkan terkejut dengan bunyi enjin yang kuat itu, orang tua itu terpelanting ke belakang meja. Dia merasakan seolah-olah bunyi peluru yang keluar dari mesin itu. Lalu dia berteriak kepada pekedai itu, "bunyi apakah itu???"

Moral
Seringkali kegagalan bukan disebabkan kurangnya kemampuan atau usaha kita melakukan sesuatu. Kadang-kadang kegagalan disebabkan sedikitnya pengetahuan yang kita miliki. Kita telah menjadi orang yang sangat tidak mahu belajar sesuatu.

Jadi adik-adik, jangan malas untuk belajar sesuatu yang baharu. Kalau tak tahu, tak salah untuk kita bertanya kepada orang yang lebih tahu. Bak kata pepatah.. malu bertanya sesat jalan. Sampai di sini sahaja untuk kali ini.. in shaa Allah, kita berjumpa lagi di kisah-kisah yang akan datang. Wallahu a'lam.

Thursday, December 29, 2016

Tips atasi liat bangun pagi

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah.. diberi kesempatan oleh-Nya untuk mengemaskini entri di blog ini sekali lagi.
Bagaimana dengan hari anda? Masih dalam mood bercuti atau sedang sibuk dengan urusan harian? Almaklumlah.. di hujung-hujung tahun ni, ramai yang mengambil kesempatan untuk menghabiskan cuti tahun untuk pergi bercuti bersama keluarga. Semoga percutian anda bersama keluarga tersayang akan mengeratkan lagi kasih sayang dan ikatan kemesraan bersama pasangan dan anak-anak. In Shaa Allah.

Kalau sebut pasal cuti ni.. pasti ada yang berfikir untuk berlama-lama di atas katil. Masa cuti ni la kita nak balas balik (saya selalu guna istilah qadha'.. hehe) waktu tidur kita selama lima hari bekerja tu. Tak payah cakap orang lain.. saya sendiri bila cuti hujung minggu atau cuti umum atau mohon cuti; pasti akan terlajak bangun tidur daripada biasa.. hehe.

Pendek kata.. bila dah tau yang esok cuti, automatik kita dah set dalam kepala yang esok boleh bangun lambat sikit. Tapi saya respect la kat korang yang walaupun hari cuti masih boleh bangun awal seperti biasa. Dan itu sebenarnya adalah satu amalan yang baik. So, jangan tiru perangai saya yang tak elok tu.. huhhuu.

OK.. berbalik kepada tajuk entri, hari ni saya nak berkongsi dengan anda tips untuk mengatasi liat bangun pagi. Terpulang kepada anda.. kalau anda 'penidur tegar' di waktu cuti seperti saya, sila abaikan tips ini.. hehe. Tapi ingat, kajian menyatakan, kejayaan seseorang bermula sekiranya individu terbabit bangun pagi iaitu sebelum matahari terbit. Bahkan.. ada hadis yang menyuruh kita berpagi-pagian dan jangan tidur selepas subuh kerana rezeki susah nak masuk dan mewarisi kepapaan. (peringatan untuk diri sendiri jugak!!)

Jadi kepada yang susah bangun pagi tu, cuba ikut langkah di bawah untuk membiasakan rutin tersebut diamalkan setiap hari. Pelbagai manfaat yang kita perolehi jika mengamalkan bangun pagi seperti dapat mejadikan kita lebih aktif dan produktif.. Jadi, jom cuba tips atasi liat bangun pagi di bawah.

Tips atasi liat bangun pagi

1. Cari alasan untuk bangun pagi
Sebelum tidur, pastikan anda mempunyai senarai tugasan yang perlu dilakukan esok. Tujuannya bagi       memastikan segala tugasan yang berat dapat diselesaikan sebelum tengahari. Senarai tugasan secara tidak langsung membantu anda menguruskan masa dengan lebih baik. Ini kerana pagi adalah waktu terbaik untuk kekal produktif dalam kerja! 

--> Bagi 'penidur tegar waktu cuti' macam saya ni.. buatlah perancangan macam mana sekalipun.. tetap liat jugak nak bangun pagi.. huhhuu. 

2. Gunakan butang 'snooze'
Jangan lengahkan bangun pagi apabila mendengar butang snooze, setiap kali jam penggera berbunyi. Jika terus bangun dan mandi menjadikan anda lebih segar dan bertenaga untuk merancang sesuatu pada waktu pagi. Jika terjaga awal daripada masa yang ditetapkan, terus bangun. Jika anda teruskan menarik selimut, ia akan menyebabkan anda lebih sukar bangun. Anda berpeluang bersarapan, bersiap lebih lama dan menikmati keindahan pagi.

--> Juga tak berkesan. Cepat-cepat bangun untuk tutup alarm lagi adalah.. huhhuu. dan yang paling teruk, kadang-kadang bunyi alarm pun tak sedar.. hahaha

3. Nikmati waktu tidur lebih lama
Tidur pada waktu yang ditetapkan setiap malam. Anda perlu dapatkan enam hingga lapan jam waktu tidur sehari. Caranya terpulang kepada anda untuk mencukupkan tidur pada setiap hari dan ia mempengaruhi waktu bangun tidur anda.

--> Tip yang diberi.. nikmati waktu tidur lebih lama.. so, memang lajak la sampai kul 10.00 pagi.. cuti kan??kihkihkih. 

4. Bangun lagi awal
Jika kebiasaannya anda bangun 6.00 pagi, cuba untuk bangun 10 atau 15 minit lebih awal. Ini memberikan lebih masa untuk anda meregangkan badan.

--> Dahla kita ni jenis liat bangun pagi.. disuruh pulak bangun lebih awal.. memang tak lah!! huhhuu..

5. Bangun awal pada hujung minggu
Jangan ubah rutin bangun pagi pada setiap hujung minggu. Ini bagi melatih diri anda mudah bangun awal. Lama-kelamaan, badan anda akan menjadi biasa dengan keadaan ini. Pagi tempoh yang tenang. Anda boleh berfikir dan merancand dengan baik pada waktu ini. Justeru, sungguhpun hujung minggu, bangun awal dan rancang aktiviti yang lebih menyeronokkan.

--> Saya rasa tips-tips ini lebih kepada orang yang liat bangun pagi waktu bekerja sahaja. Macam saya hanya bermasalah pada hujung minggu jer.. :)

6. Lompat dan regangkan badan
Cuba regangkan badan dan melompat dengan perlahan sebaik bangun tidur. Beberapa sesi lompat akan membantu anda memperoleh tenaga. Jika anda mampu untuk lompat tali, jadikan ia rutin. Ia juga membantu memperbaiki sistem limfa anda. Sewaktu tidur, banyak toksik dihasilkan pada waktu malam, jadi sedikit senaman waktu pagi mampu mengurangkannya.

--> Aktiviti ini hanya boleh dilakukan sekiranya anda berjaya mengatasi masalah liat bangun pagi.. kalau tak, selepas mengeliat.. anda akan tidur kembali.. hehe

7. Buka tingkap
Tarik nafas sedalam-dalamnya dan pasti anda akan berasa segar dan mampu melihat lebih jelas pemandangan di luar rumah.

--> Sama seperti di atas.. kalau masih di atas katil, bagaimana anda nak buka tingkap. Jadi, point utamanya ialah kalau bangun awal anda pasti dapat melakukannya

8. Minum segelas air
Cara terbaik adalah minum segelas air. Bangun dan minum, kemudian anda pasti bersedia untuk menempuh hari baharu.

--> Saya biasa amalkan minum air selepas bangun tidur. Memang sebelum tidur saya akan standby kan botol air di tepi katil supaya bila bangun nanti boleh minum air. Tapi bila hari cuti, tips ni tak berjaya membuatkan saya untuk bangun awal.. minum air dan sambung tidur kembali.. huhhuu

9. Sarapan
Elakkan sarapan yang mengandungi kuantiti gula yang tinggi. Ia hanya mengakibatkan perut sebu dan sakit kepala. Kombinasi diet seimbang menjadi permulaan yang ceria dan produktif.

--> Errmm.. biasanya kalau dah bangun lambat, sarapan tu akan jadi merangkap makan tengahari kott.. :-)

********************************
Jadi, macam mana?? Agak-agaknya tips di atas tu berguna tak untuk mengatasi masalah mereka yang liat bangun pagi? Itu hanya sekadar perkongsian sahaja.. yang penting diri kita. Kalau kita mahukan perubahan dan lebih berjaya, cubalah tips di atas. Pokok pangkalnya diri kita sendiri. Apa lagi kawan-kawan.. jom lakukan perubahan. In shaa Allah, takkan rugi punya orang yang bangun awal ni, bahkan Allah akan bukakan pintu rezeki yang luas untuk kita.












Bagi yang beragama Islam, kita telah diajar beberapa amalan sunnah selepas bangun daripada tidur. Jom kita tengok beberapa amalan sunnah yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW selepas bangun daripada tidur dan marilah kita sama-sama amalkan untuk mendapat keberakatan dan pahala sunat.


Wednesday, December 28, 2016

KEPAHITAN YANG MANIS

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah.. masih diberi kesempatan untuk bersiaran di sini dengan izin-Nya. Sedar tak sedar, kita sudahpun semakin hampir menuju ke penghujung tahun 2016. Beberapa hari lagi 2016 akan melabuhkan tirainya dan bakal menyusul tahun 2017.

Sudah tentunya, sepanjang tahun 2016, pelbagai lakaran peristiwa dan kisah dalam episod kehidupan telah kita lalui. Pasti ada episod suka dan duka, tawa dan tangis, datang dan pergi, berjaya dan gagal dan bermacam-macam lagi warna-warni kehidupan yang telah kita lakar sepanjang tahun 2016.

Yakinlah.. setiap kepahitan yang kita lalui pasti akan ada kemanisan di penghujungnya. Asalkan kita menghadapinya dengan tenang dan sabar, Allah pasti bersama dengan kita. Ambillah iktibar daripada setiap episod hitam kita itu untuk dijadikan bekalan dan pengajaran untuk kita menempuh hari-hari mendatang.

OK.. panjanglah pulak intro nya. :-)
Hari ni, saya nak berkongsi cerita mengenai kepahitan yang manis. Semoga perkongsian ini dapat memberi sedikit motivasi dan inspirasi buat anda. In Shaa Allah..

KEPAHITAN YANG MANIS

Pada suatu hari, seorang kaya telah menerima sebiji buah tembikai pemberian daripada tetamunya. Kemudian orang kaya itu memanggil Luqman iaitu hambanya yang paling patuh dan takut padanya. Luqman juga merupakan hamba yang paling disayanginya. Sebaik Luqman tiba, orang kaya itu memotong sebahagian tembikai dan memberikannya kepada Luqman.

Lalu, Luqman pun memakan tembikai tersebut dengan penuh kelazatan. Terpancar kenikmatan pada wajahnya itu. Lalu, tuannya itu memberikannya sebahagian lagi kerana seronok melihat hamba kesayangannya itu sedang menikmati buah pemberiannya.

Luqman menerimanya dan memakannya lagi dengan senyuman dan keikhlasan. Orang kaya tadi terus memotong dan memberi buah tembikai itu kepada Luqman sehinggalah hanya tinggal satu bahagian lagi. "Biar saya pula yang memakan sebahagian yang tinggal ini untuk merasa betapa manis dan sedapnya tembikai yang kamu makan ini."

Sebaik sahaja orang kaya itu menggigit buah itu, terpancar satu rasa kepahitan yang teramat sangat. Lidahnya terasa pahit dan tekaknya mula terasa loya. Dia hampir pengsan dek kerana kepahitan buah tembikai tersebut.

"Bagaimana kamu memakan buah sepahit racun ini ibarat kamu sendang memakan manisan yang lazat? Betapa tingginya kesabaran kamu? Hanya Allah SWT sahaja yang tahu betapa siksanya kepahitan yang kamu tanggung sebentar tadi. Mengapa kamu tidak berkata apa-apa? Dan kenapa kamu tidak berterus terang sahaja kepada saya tentang kepahitan buah ini?" soal si kaya tadi.

Luqman menjawab, "Saya sudah memakan banyak hidangan yang sedap-sedap daripada tangan tuan. Wahai tuanku yang tercinta, tuan telah memberikan saya pelbagai kelazatan dan kesenangan serta kurnia yang banyak yang telah membuatkan saya malu kepada tuan kerana tidak mungkin mampu membalasnya.

"Jadi, bagaimana mungkin saya semudah itu ingin berkata buah itu pahit dan saya tidak boleh memakannya, sedangkan ia juga daripada tangan tuan? Malah, sepahit manapun sesuatu yang tuan berikan, semuanya terasa manis bagi saya kerana setiap zarah dalam tubuh saya ini subur kerana kasih sayang daripada tuan. Bagaimana mungkin suatu rasa daripada tangan tuan yang pemurah ini, mengalirkan rasa pahit ke dalam diri saya?"

Pengajarannya:
Demikianlah rasa kasih, hormat, taat dan takut seorang hamba kepada tuannya. Begitu juga kita manusia sebagai seorang hamba kepada Allah SWT. Allah SWT telah memberi kepada kita begitu banyak kemanisan di dalam hidup ini. Hidup kita tidak lekang daripada rezeki, tidak sunyi daripada senyuman dan tidak sepi daripada kejutan yang menggembirakan.

Bagaimana mudah kita menuding jari kepada Allah SWT apabila diberi sedikit ujia? Bayangkan dalam sehari ada 24 jam, mengapa hanya 20 minit dari waktu itu Allah jadikan hujan dan kita sudah mengeluh kerana terhalang daripada melakukan aktiviti harian.

Cuba kita renungkan hakikat tersebut.. kerana kasih dan cinta yang mendalam, tembikai yang pahit boleh terasa manis.. begitulah kehidupan ini. Seandainya mendalam dan kukuhnya cinta dan kasih kita kepada Allah, nescaya setiap dugaan yang menimpa akan terasa manis. Malah tidak wujud sama sekali istilah pengalaman pahit dalam hidup ini kerana setiap pengalaman itu adalah takdir Allah SWT.

Wallahu a'lam.

Wednesday, December 14, 2016

Ilmu lebih manfaat jika dikongsi

Assalamualaikum semua.

Lama tak bersiaran.. almaklumlah. Mood bercuti di hujung tahun. Nak-nak pulak musim hujan.. tu yang ke laut jadinya.. haha. ---> Alasan semata-mata

Ok.. arini saya nak berkongsi sedikit kisah yang boleh dijadikan tauladan untuk kita. Dalam slot kisah dan tauladan harini saya nak berkongsi kisah mengenai: ilmu lebih bermanfaat jika dikongsi. Saya rasa.. korang mesti pernah alami peristiwa di mana ada dikalangan kawan korang yang kadang-kadang agak kedekut ilmu.

Contoh: korang tak faham macam mana nak selesaikan masalah matematik atau matapelajarn subjek lain. Pastu korang tanyalah kawan korang. Pastu dia pun jawab macam acuh tak acuh jer.. ajar pun macam tak ikhlas. Pernah tak??

Atau dalam situasi semasa, mintak share resepi kat FB. Member punyalah share gambar masakan atau kek-kek menarik. Pastu bila nak mintak resepi sikit punya kemut.. huhhuu. Siap sindir lagi.. pergilah belajar sendiri. I pergi kelas bayar mahal-mahal tau.. senang-senang nak mintak resepi!! haa korang..??!! pernah tak alami situasi camni?

So, atas sebab itu, arini saya nak berkongsilah sedikit kisah khasnya untuk mereka yang kadang-kadang berkira nak berkongsi ilmu. Ingat ya saudara/ri.. ilmu tu daripada Allah.. kalau kita suka berkongsi ilmu, in shaa Allah, Allah akan tambah lagi ilmu kita. Bak kata pepatah.. takkan hilang bisa ular yang menyusur akal. Jadilah kita seperti padi.. makin berisi makin menunduk. Eh..!! masih tak cerita lagi ke? hehe.. oraitt.. jom kita baca kisah bawah ni.

Ilmu lebih manfaat jika dikongsi

Abu dan Baba ialah dua orang pemancing hebat yang sering mendapat banyak ikan setiap kali memancing. Pernah satu ketika, ketika kedua-duanya sedang memancing, datang 10 pemancing lain memancing berdekatan mereka. Seperti biasa, mereka mendapat ikan yang cukup banyak, sedangkan 10 pemancing tadi hanya melihat dengan cemburu dan mampu menggigit jari sahaja kerana tidak mendapat seekor ikan pun.

Kesemua 10 pemancing itu kemudiannya ingin belajar daripada mereka rahsia dan teknik memancing yang baik. Tetapi abu nampak seperti kurang senang dengan permintaan pemancing-pemancing itu. Sebaliknya Baba menunjukkan sikap berbeza. Dia bersedia menjelaskan teknik dan rahsia memancing kepada 10 pemancing tersebut dengan satu syarat.

Kesemua pemancing itu mesti memberikannya seekor ikan jika mereka berjaya mendapat 10 ekor ikan. Tetapi jika kurang daripada 10 ekor ikan, mereka tidak perlu memberinya apa-apa. Setelah syarat itu dipersetujui, Baba mengajar mereka teknik dan rahsia terbaik memancing. Tidak sampai 2 jam, kebanyakan pemancing-pemancing itu mendapat sekurang-kurangnya sebakul ikan. 

Secara tidak langsung, Baba juga mendapat keuntungan daripada kejayaan pemancing-pemancing itu menaikkan banyak ikan. Selain mendapat 'bonus' ikan daripada pemancing yang dibimbingnya, Baba juga mendapat 10 orang kawan baru. Sementara rakannya Abu yang agak kedekut ilmu, tidak mendapat keuntungan sebesar keuntungan Baba yang pemurah dan tidak lokek ilmu untuk dikongsi dengan orang lain.

Moral:

Kisah di atas menunjukkan bahawa ilmu pengetahuan akan lebih bermanfaat jika diamalkan dan dikongsi bersama. Tindakan itu selain menjadikan kita lebih menguasai ilmu, juga mendapat keuntungan daripada segi kewangan, hubungan sosial dan lain-lain.

"Jika anda membantu lebih ramai orang untuk mencapai impiannya, impian anda juga akan tercapai." kata Zig Ziglar, seorang pakar motivasi terkenal Amerika Syarikat. 

Bentuk bantuan tidak semestinya wang ringgit, ilmu dan sebagainya. Tetapi juga dalam bentuk kasih sayang, perihatin, kejujuran, motivasi, bimbingan dan sebagainya yang termampu diberikan. Kebiasaan berkongsi seperti itu selain memudahkan kita memperluas jalinan hubungan sosial, juga dapat membangunkan keyakinan diri kerana merasa kehidupan kita lebih bererti.

Wallahu a'lam.

Wednesday, November 23, 2016

Tips Persediaan Percutian

Assalamualaikum.
Salam blogging

Hari ni saya nak berkongsi mengenai tips persediaan percutian dengan anda. Maklumlah.. cuti sekolah bakal menjelang beberapa hari lagi. Pasti ramai ibu bapa yang telah merancang untuk pergi bercuti bersama keluarga di musim cuti sekolah nanti.

Sebelum anda berangkat ke destinasi percutian idaman, pastikan anda dalam keadaan sihat. Bagaimanapun, anda tidak tahu apa yang bakal terjadi pada masa akan datang kerana tiada siapa boleh menduga ketika dalam perjalanan anda berasa sakit kepala, bersin mahupun demam. Apatah lagi, perubahan suhu tempat yang ditujui adakalanya menyebabkan kesihatan anda terganggu.

Kata orang, mencegah lebih baik daripada mengubati. Justeru, sebelum senario buruk  itu terjadi, mengubati adalah satu-satunya pilihan terbaik.Atas sebab itu, saya sertakan beberapa tips sebagai persediaan percutian anda sekiranya ditakdirkan anda jatuh sakit ketika melancong.

Tips Percutian

1. Maklumkan keadaan anda kepada pramugari

Sekiranya anda bercuti dengan menaiki kapal terbang, jika anda berasa sejuk dalam penerbangan ketika ke destinasi percutian, jangan ragu-ragu untuk memberitahu kepada pramugari yang anda tidak sedap badan. Ini akan dapat membantu anda kerana pramugari akan memberikan anda selimut, bantal atau ubat supaya anda berasa lebih selesa.

2. Banyakkan minum air kosong

Anda dinasihatkan untuk meminum air kosong satu gelas setiap 15 minit. Ini adalah merupakan satu cara yang baik kerana tubuh kita memerlukan air yang banyak. Apabila air kurang dalam badan, anda mudah diserang penyakit terutama selesama, batuk dan demam.

3. Rehat yang cukup

Berehat selama beberapa jam ketika anda berasa kurang sihat. Jangan memaksa diri kerana percutian anda akan menjadi sia-sia jika badan anda berasa sakit. Keadaan juga mungkin akan menjadi lebih teruk jika anda terus berdegil untuk meneruskan percutian kerana anda mungkin boleh pengsan ketika bersiar-siar atau ketika dalam perjalanan.

4. Tidur yang cukup

Tidur adalah sangat baik untuk membantu mengembalikan kecergasan dan kesihatan tubuh anda. Hal ini kerana, selepas bangun daripada tidur yang cukup, anda akan berasa lebih segar dan sihat. Sekiranya anda diserang selesema dan berasa tidak tahan dengan gejala yang dialami, ambil ubat selesema atau demam terlebih dahulu sebelum tidur.

5. Beritahu pihak hotel

Pastikan pihak hotel tempat anda menginap tahu tentang keadaan kesihatan anda yang sedang sakit. Ini kerana, pihak hotel boleh membantu anda daripada pelbagai aspek terutama membawa anda ke hospital atau klinik jika keadaan anda semakin teruk.

6. Sediakan ubat-ubatan

Ketika melancong, bawalah bersama anda ubat-ubatan yang boleh mengubati kesakitan yang sering menyerang anda ketika melancong seperti ubat selesema, batuk, demam, ubat antimabuk dan ubat-ubatan yang bersesuaian. Pastikan juga anda membawa baju panas atau jaket walaupun anda bercuti ke tempat yang tidak terlalu sejuk. Ini adalah satu langkah berjaga-jaga terutama apabila anda mengalami selesema. Biasanya, sekiranya anda mengalami selesema, badan akan menggigil walaupun tempat yang dikunjungi itu mempunyai suhu yang panas.

7. Berjumpa dengan doktor

Apabila semua tips sudah dicuba tetapi keadaan kesihatan anda masih juga sama, anda hendaklah berjumpa segera dengan doktor. Dengan pemeriksaan yang dilakukan oleh doktor, anda pasti mendapat ubat yang sesuai dan terbaik untuk sakit yang anda alami. Selain itu, dengan cara ini anda dapat mencegah kesakitan yang anda alami daripada berlarutan yang akhirnya akan merosakkan keseluruhan percutian idaman anda.

8. Kebaikan insurans perjalanan

Insurans perjalanan biasanya sering diabaikan kerana ramai yang beranggapan ianya tidak penting. Namun, apabila sakit ketika bercuti, ketika itulah perkhidmatan yang ditawarkan oleh insurans sangat diperlukan. Dengan adanya insurans, segala kos perubatan anda akan ditanggung oleh syarikat insurans dan anda tidak perlu mengeluarkan wang.

*******************************

Demikianlah, beberapa tips persediaan percutian untuk anda terutamanya ketika anda berasa tidak sihat ketika melancong dan bercuti. Mungkin anda boleh gunakan tips-tips di atas untuk menghadapi saat-saat yang kurang menyenangkan ketika anda pergi bercuti. Semoga perkongsian kali ini dapat memberi sedikit manfaat kepada para pembaca sekalian.

Assalamualaikum dan jumpa lagi di entri yang lain pula.. XoXo