Pages

Wednesday, January 19, 2011

ADAKAH ANDA BENAR-BENAR IKHLAS??

Baru-baru ini, saya terbaca satu kisah mengenai ikhlas dalam sebuah akhbar. Ianya sangat menarik dan menyentuh perasaan. Terfikir sejenak di minda adakah selama ini saya benar-benar tergolong dalam golongan orang yang ikhlas?? Tidak kiralah sama ada ikhlas dalam melakukan ibadat, ikhlas dalam pekerjaan, ikhlas dalam perhubungan, dll.... saya kurang pasti jawapannya. Ini kerana, kadangkala, hati seringkali merungut apabila disuruh melakukan sesuatu kerja, tidak berpuas hati dengan apa yang diperolehi, kemalasan apabila hendak melakukan ibadat kerana letih dan macam-macam lagi rungutan dan sungutan tanda protes.. Ikhlaskah namanya itu??


Ikhlas ialah sikap seorang hamba dalam menjalin hubungan dengan Allah. Apabila seorang hamba itu melaksanakan tuntutan agama dan menjauhi tegahan agama semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah dan takut kepada kemurkaan-Nya, maka itulah yang dinamakan ikhlas. (HafizFirdaus.com) 


Namun, apabila terbaca tentang artikel "ORANG IKHLAS ITU KUAT" di dalam akhbar tersebut, hati terpanggil untuk berkongsi kisah tersebut bersama pembaca sekalian kerana saya percaya tidak semua orang berkesempatan membacanya. Niat saya, biarlah apa yang saya rasa itu (selepas membaca artikel tersebut) tidak hanya dirasai oleh saya sahaja, tetapi biarlah manfaatnya juga dapat dirasai dan diinsafi oleh orang lain. InsyaAllah..


Jadi, marilah kita sama-sama menghayati kisah di bawah. Semoga manfaat dan faedahnya sampai kepada kita untuk renungan bersama..
Ada seorang jejaka terjumpa buku di taman. Dalam buku itu tertulis nama dan alamat pemiliknya, dan juga tertera 'Aisyah yang sedang mencari sahabat hati'.



Tergerak hati jejaka itu mengutus surat dan mengembalikan buku kepada si gadis misteri itu. Beberapa hari kemudian si jejaka mendapat balasan daripada gadis tersebut bahawa dia bersetuju berkawan dengan si jejaka, dan berterima kasih kerana menghantar buku yang hilang itu.

Hari berganti minggu dan minggu bertukar bulan. Persahabatan mula bertukar kepada perasaan sayang. Namun begitu mereka belum pernah bertemu.

Si jejaka amat teringin bertemu si gadis misteri dan begitu juga dengan si gadis.

Pada suatu hari, si jejaka dipanggil berkhidmat misi ketenteraan di luar negara. Si jejaka susah hati kerana bimbang dia mungkin tidak dapat berjumpa dengan gadis kesayangannya.


Maka ditulis sepucuk surat berbunyi:
"kalau Allah panjangkan jodoh kita, dan kamu masih sayang padaku, kita akan berjumpa suatu hari nanti. Aku akan memakai pakaian tenteraku dan membawa sekuntum mawar berwarna merah. Aku akan mengenalimu sekiranya kamu juga memegang sekuntum bunga mawar merah. Setelah itu izinkanlah aku membawamu untuk makan malam bertemu orang tuaku."

Selang beberapa tahun, pada hari kepulangan si jejaka yang diangkat sebagai perwira negara, si gadis setia itu menunggu kepulangan buah hatinya, sambil memegang sekuntum bunga mawar merah.

Diperhatikan setiap jejaka yang membawa sekuntum bungan mawar merah, seperti dalam perjanjian mereka dahulu. Begitu juga si jejaka berdebar-debar bertemu orang yang disayangi.

Tiba-tiba, si jejaka ternampak gadis yang gemuk, hitam, berjerawat, duduk di atas kerusi roda sambil melihat sekeliling persis mencari seseorang.

Kakinya kudung dan tangannya memegang sekuntum mawar merah. Si jejaka sangat terkejut melihat keadaan fizikal dan wajah gadis pujaannya selama ini amat berbeza daripada imaginasinya.

Namun dia memberanikan diri menghampiri gadis tersebut dan menyapa, Aisyah? Gadis itu melihat ke arah si jejaka dan tersenyum ceria. Si jejaka terus menghulurkan bunga mawar kepada si gadis dan berkata: "Aku amat merinduimu. Terimalah bunga ini dan pelawaanku untuk makan malam bersama ibu bapaku. Orang tuaku tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu denganmu."

Si gadis itu tersenyum lagi dan berkata: "Aku tidak tahu apa yang terjadi. Tetapi ada seorang gadis cantik jelita memberikan bunga ini kepadaku sebentar tadi. Dia memintaku memberitahu kamu bahawa dia sedang menunggu kamu di restoran di hadapan ini sekiranya kamu mempelawaku makan malam dan bertemu orang tuamu."

Berapa ramaikah lelaki yang sesuci hati jejaka ini? Dia mengotakan janjinya dan tetap berpegang kepada perasaan sayang walaupun pada mulanya dia menjangkakan gadis cacat itu adalah Aisyah. Masihkah wujud lelaki seikhlas dan seluhur hati pemuda itu?
Kesimpulannya,  adakah kita benar-benar ikhlas menyintai dan menyayangi serta menerima setiap kelemahan dan kekurangan yang ada pada pasangan kita?? Tepuk dada, tanyalah hati kerana hanya hati yang mengetahui jawapannya. Kalau benar-benar anda menyintai dan menyayangi pasangan anda, terimalah ia seadanya kerana manusia itu tiada yang sempurna. Usahlah kita asyik mencari kesempurnaan sedangkan kesempurnaan itu hanyalah milik Sang Pencipta Alam Buana ini iaitulah Allah SWT.

Saya percaya, jika kita sentiasa ikhlas dalam setiap amalan dan pekerjaan kita, nescaya kemanisan dan kenikmatannya akan kita temui di penghujungnya. Jika tidak di dunia ini, insyaAllah kemanisannya kita akan kecapi di akhirat nanti. Seperti kisah pemuda di atas yang benar-benar ikhlas ingin menjadikan wanita cacat dan buruk yang disangkanya Aisyah sebagai kekasih hatinya, akhirnya bertemu kemanisan apabila gadis cacat itu bukanlah Aisyah yang sebenar. Semoga kisah ini dapat mendorong para pembaca dan saya untuk sentiasa ikhlas dalam melakukan setiap perkara. Akhir kata, semoga kita sama-sama tergolong dalam golongan orang-orang yang ikhlas dan sentiasa bertambah keikhlasannya.. amiin.
Wallahua'lam.






 

2 comments:

Normala Abu Bakar said...

sangat suka dengan entry ini ...



zaman skang ada ker lelaki yang benar2 ikhlas ?erm..

Normala Abu Bakar said...

sangat best entry ni ...

zaman skang ader ke lelaki ikhlas ..
erm ..