Pages

Wednesday, January 12, 2011

KU HARAP PANAS SAMPAI KE PETANG..

Baru balik daripada makan tengahari di rumah mak
Alhamdulillah, cuaca tengahari ini cerah secerahnya..
Sang suria memancarkan cahayanya menerangi bumi Masjid Tanah sekali lagi
Biarpun semalam sang suria berselindung di balik mega mendung nan gelap dan menitiskan titis-titis hujan yang lebat berserta kilat petir sabung menyabung
Dan itu memaksa saya untuk tidak pulang ke rumah sewa di Selandar setelah isteri membenarkan saya untuk bermalam di rumah emak kerana khuatir suaminya akan kebasahan di timpa hujan yang ketika itu tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti

Tapi hari ini, syukur..
Sang mentari sudah menampakkan wajahnya yang bersinar cerah biarpun terik cahayanya kadangkala membuatkan kita kurang selesa
Namun, jauh di lubuk hati, saya mengharapkan sang mentari akan terus bersinar hingga ke petang supaya saya boleh pulang bertemu dengan isteri yang tersayang..
Dalam masa yang sama, kasihan juga melihat emak yang kini terpaksa tinggal keseorangan selepas saya dan isteri berpindah ke Selandar.

Hajat di hati memang ingin tinggal bersama emak.. namun situasi isteri yang baru bertukar dan ditempatkan di Kolej Komuniti Selandar membuatkan kami terpaksa menyewa di Selandar. Tambah merumitkan keadaan apabila isteri tidak tahu memandu apatah lagi memiliki lesen memandu. Jarak perjalanan dari Masjid Tanah ke Selandar pula memakan masa kurang lebih satu jam. Mahu tak mahu sayalah yang terpaksa berkorban berulang alik dari Selandar ke Masjid Tanah dan pulang ke rumah emak pada hujung minggu.

Serba salah dibuatnya. Yang sini emak, yang sana isteri.. Kedua-duanya perlukan perhatian tambah-tambah lagi emak. Biarpun emak faham dan mengerti situasi yang kami hadapi sekarang ini, namun jauh di sudut hati, saya tahu emak menginginkan kami tinggal bersama dengannya. Saya juga lihat, isteri tiada masalah untuk tinggal bersama ibu mertuanya (harap-harapnya, keadaan ini akan berterusan sampai bila-bila).

Dahulu, saya akui, saya jarang memikirkan perasaan dan keadaan emak. Malah pernah saya menyewa di rumah lain sedangkan sewaktu itu emak tinggal berdekatan dengan rumah yang saya sewa. Apabila saya mendapat kerja di matrikulasi ini, saya lebih rela menyewa daripada tinggal bersama emak (ketika itu emak belum berpindah ke kampung). Apabila saya tahu emak hendak membuat rumah di kampung, saya mohon bertukar ke bandar Melaka. Saya tidak mahu tinggal bersama emak.. Saya janggal bila bersama emak.. Komunikasi antara kami juga kelihatan begitu canggung. Untuk menerangkan segala sebab musabab saya berasa janggal dengan emak adalah terlalu panjang dan peribadi untuk diceritakan di sini. Secara ringkasnya, itulah sedikit gambaran tentang hubungan saya dan emak dan mungkin juga dengan adik beradik yang lain suatu ketika dahulu.

Saya tak pasti bila perasaan itu bertukar menjadi sayang biarpun saya tidak pernah menzahirkannya dengan kata-kata (kerana saya bukanlah dalam kategori insan yang mempamerkan kasih sayangnya secara terang-terang) di depan emak. Namun, hakikatnya saya mula mengambil berat tentang emak. Mungkin kadang-kadang hati saya membentak, tapi bila memikirkan hati dan perasaan emak, saya turutkan juga kemahuan emak. Saya juga sudah tidak berasa janggal berkomunikasi dan tinggal serumah dengan emak. Setelah emak membuat rumah dan berpindah ke kampung, saya yang baru bertukar ke bandar Melaka, kembali membuat surat permohonan pertukaran untuk kembali ke tempat kerja lama kerana kasihan melihat emak yang tinggal sendirian di kampung.

Dan mungkin berkat doa emak, alhamdulillah permohonan saya itu diterima biarpun mengikut logiknya permohonan saya mungkin tidak akan diluluskan kerana saya baru saja bertukar di Melaka. Dan kini, saya sekali lagi mengharapkan keajaiban itu berlaku biarpun kali ini situasinya melibatkan isteri saya. Saya benar-benar mengharapkan isteri saya dapat berpindah ke tempat yang lebih dekat supaya saya dapat kembali tinggal bersama emak. Biarpun hubungan kami pernah bermasalah sebelum ini, tapi kini saya benar-benar ingin tinggal bersama emak. Berbakti kepadanya.. Menebus kembali dosa-dosa saya kepadanya.. Menjaga dan menyayanginya sementara hayatnya dan juga hayat saya masih ada. Setiap kali saya pulang ke rumah untuk makan tengahari, emak akan menghantar saya dengan sorotan matanya di pintu gate rumah yang mana aksi itu jarang saya lihat ketika saya tinggal bersamanya dulu.. Saya akui, saya mungkin bukan anak yang baik, tapi saya sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik. 
Bukankah syurga seorang anak lelaki itu letaknya di bawah telapak kaki ibu meskipun dia sudah berkahwin?? (Alangkah bagusnya jika abang-abang saya juga mengerti akan hakikat itu...)

Semoga sinar mentari itu akan terus bersinar hingga ke petang agar dapat saya merasakan kehangatan panasnya meskipun kehgatan panas itu bisa membakar diri ini..