Pages

Friday, January 2, 2015

SELAMAT TAHUN BARU DAN SALAM PERPISAHAN

Salam..
Alhamdulillah, hari ni kita sudah berada di hari kedua di tahun 2015. Semoga tahun baru anda dipenuhi dengan kegembiraan dan keceriaan.. Bagi yang memasang azam, semoga azam anda akan mampu dicapai..

Permulaan yang baik bagi aku di tahun 2015 dalam dunia blogging... hehe. Mana taknya.. dah lama sungguh rasanya aku tak mencoret sesuatu di sini. Selalunya aku salin balik je artikel yang aku rasa nak share kat sini.. Hari ni terajin pulak nak mengarang sepatah dua kata kat sini. Azam tahun barulah katakan... Apapun, aku harap permulaan yang baik ini akan berterusan hendaknyaa.. aamiin.

OKlah.. berbalik kepada tajuk entry aku hari ni.. hal selamat tahun baru dah settle.. apa ke halnya pulak dengan salam perpisahan?? Sapa yang nak pindah?? Nak pindah mana?? Kenapa nak pindah? Gitulah gamaknya persoalan-persoalan yang akan ditimbulkan bila kita ucap salam perpisahan..

Atenye.. bukan teman yang nak berpindah.. tapi anak dara teman ni haa.. Sedar tak sedar dah 4 tahun usianya. Makanya, teman ghasa nak menganto dia ke sekolah..

Sebelum ni aku anta anak aku kat taska berhampiran rumah sewa aku ni je.. Memandangkan aku dalam proses membeli rumah, yang mana akan menyebabkan pendapatan makin mengecil, jadi aku rasa, mana-mana kos yang boleh dikurangkan, aku kurangkanlah.. dan aku terdengar pasal Taska Permata.

Selain yuran yang rendah, Taska Permata juga memberi pendedahan kepada pendidikan awal kanak-kanak dari usia 2 - 4 tahun (promosi sikit). Anak-anak akan diajar untuk berdikari dan berdisiplin. Pendek kata, anak-anak kat taska ni bukan makan, tido, main je le kojenyee.. Kiranya kes aku ni kira macam serampang dua mata jugakla.. jimat pun dapat, pendidikan anak pun dapat.

Jadi, memandangkan hari ni merupakan hari terakhir anak aku di taska (nak ikutkan dah berakhir 31 Dis yang lalu, tapi aku mohon tempoh lagi satu hari sebab taska baru start 5 haribulan), sebagai menghargai jasa pengasuh-pengasuh di taska tersebut aku buatkan sebiji kek (yang ni untuk anak-anak yang dok taska) untuk mereka. Orang rumah aku pulak masakkan pulut kuning dan rendang.








Alhamdulillah, tadi pengasuh whatsapp kat orang rumah aku gambar anak-anak ni tengah makan besama. Time cuti sekolah macam sekarang ni memang tak ramai yang hantar anak diorang sebab kebanayakannya yang dihantar ke sini mak ayah diaorang cikgu. So, bila cuti sekolah tinggallah berapa kerat ni.

Kepada anakanda abah Nur Iman Wafirah yang bakal masuk Taska Permata hari Isnin ni, semoga membesar menjadi anak yang solehah, beriman dan bertaqwa. Walaupun abah selalu marah Iman, sebenarnya abah sangat sayang kat Iman. Abah marah bersebab.. sebab taknak sesuatu yang buruk jadi kat Iman. Tetiba touching la pulak..

Okla.. semoga bertemu lagi di lain siaran.
Assalamualaikum.

Thursday, September 4, 2014

ELAK TUA SEBELUM WAKTU

Salam..
Lama betul mrKhai tak update sesuatu di sini. Kalau tengok last post, dah dekat tiga bulan blog ni terbiar tanpa sebarang entri terkini.

Alhamdulillah, hari ni Allah beri sedikit kerajinan kepada mrKhai untuk berkongsi sedikit tip bagi mengelakkan kita menjadi tua sebelum waktunya.. Macam biasa, tips ni sumbernya mrKhai ambil dari surat khabar. Untuk pengetahuan, mrKhai selalu kumpul beberapa artikel yang mrKhai rasakan menarik dari surat khabar (maklumlah.. kerja buat keratan akhbar di Library), dengan niat nak share di blog.

Dah banyak artikel yang mrKhai kumpul, cuma tak berapa sempat nak share kat blog je.. nak kata bizi sesangat tu takdelah.. tapi kalau sifat MALAS tu dah bersarang dalam diri, jawabnya.. APAPUN TAK BOLEH buatlahh.. huhhuu. OK.. berbalik kepada entri kali ni,. mrKhai nak berkongsi tips untuk elak kita menjadi tua sebelum waktu.


Lumrah setiap manusia, mahu kelihatan cantik dan muda sepanjang masa. Oleh yang demikian, pelbagai petua kecantikan dicuba. Tahukah anda, ada amalan mencatikkan diri yang boleh menampakkan seseorang lebih tua berbanding usia sebenar?

1. Terlalu Kurus
  • Penyingkiran lemak wajah boleh menjadikan kulit muka kendur dan cengkung, sekali gus menyebabkan wajah tampak berusia
  • Diet Yo-yo (pengurangan dan penambahan berat secara berulang) juga menyebabkan penuaan sebelum masa kerana ia meregang serta mengurangkan keanjalan kulit
Mary P Lupo
Pakar Dermatologi Tulane Universiti,
New Orleans
  • Penyelesaian: kekalkan berat badan melalui kaedah pemakanan dan senaman yang sihat
  • Kajian mendapati, ada makanan yang boleh menyerlahkan penampilan luaran dan dalaman seseorang.
  • Antaranya, makanan mengandungi asid lemak Omega 3 seperti salmon dan kacang walnut yang dapat melawan kedutan, vitamin C daripada buah-buahan sitrus seperti kiwi dan bayam menggalakkan penghasilan kolagen serta lycopene daripada sos tomato dan anggur melindungi kulit daripada kerosakan akibat panahan cahaya matahari
2. Menggosok Mata
  • "Perbuatan menarik dan menggosok pada kulit sekitar mata boleh menyebabkan ia menjadi kehitaman"
  • Pigmen kulit berubah mengikut usia, jadi ia menambah angka pada usia seseorang
Jeannine Downie
Pakar Dermatologi
  • Penyelesaian: jika anda tidak boleh berhenti daripada menggosok mata, berjumpalah pakar untuk diagnosis dan rawatan.
  • Anda juga diingatkan agar berhati-hati ketika mengenakan solekan mata atau memakai kanta lekap.
3. Tidur Perlu Cukup
  • Tidur adalah keperluan utama untuk mengembalikan tenaga, daya tumpuan dan kulit yang sempurna.
  • Waktu malam, kulit berada pada tahap pembaharuan. Ia bukan hanya melakukan pembaikan sendiri, tetapi ada perbezaan juga pada PH dan kitaran, jadi produk antipenuaan dapat menembusi sel kulit dengan baik.
  • Penyelesaian: Tidur yang mencukupi ialah antara tujuh hingga lapan jam sehari.
Jeannette Graf
Pen. Profesor Dermatologi 
di NYU Medical Centre

4. Tidur Mengiring
  • Posisi tidur mengiring memang selesa, tetapi ia tidak bagus untuk kulit. (YANG NI mrKHAI KURANG SETUJU SEBAB RASULULLAH SAW AJAR KITA TIDUR MENGIRING DI LAMBUNG SEBELAH KANAN. SETIAP SUNNAH YANG DATANG DARIPADA RASULULLAH SAW PASTI MENGANDUNGI HIKMAH YANG BAIK UNTUK DIIKUTI)
  • Menekan wajah pada bantal selama lapan jam setiap malam selama beberapa tahun menyebabkan kulit rosak dan berkedut.
  • Penyelesaian: latih diri tidur terlentang.
Mary P Lupo
5. Jangan Guna Penyedut Minuman
  • Minum minuman menggunakan penyedut minuman boleh menyebabkan timbulnya garis halus pada mulut dan tanda penuaan.
  • "Untuk tempoh lama, memuncungkan bibir kerana menyedut air menggunakan penyedut minuman atau menghisap rokok memungkinkan wujudnya lebihan kedutan sekitar mulut"
Renee Rouleau
Pakar Penjagaan Kulit

6. Guna Penghalang Kedutan Dalam Produk Yang Salah
  • Boleh gunakan produk mengandungi agen antipenuaan seperti retinol, peptides dan antioksidan untuk meningkatkan penampilan kulit, tetapi bukan dalam bentuk pencuci wajah. Ia satu pembaziran.
  • "Banyak pencuci muka mengandungi bahan antipenuaan, tetapi ia tidak mencukupi untuk memberikan hasil memuaskan"
Dee Ann Glaser
Profesor Dermatologi
St Louis University
  • Penyelesaian: lebih baik gunakan pencuci muka biasa. Kemudian sapukan losen, krim atau serum antipenuaan, yang kekal lebih lama pada kulit dan mampu menyerap lebih baik.
7. Tekanan Setiap Masa
  • Jika anda individu yang mudah bimbang atau mengalami masalah tidur, badan anda menghasilkan hormon tekanan tanpa henti dan ia penyebab penuaan.
  • "Kortisol ialah hormon tekanan paling utama yang merosakkan kolagen dan menyebabkan kulit kendur serta berkedut seterusnya keradangan"
Amy Wechsler
Pakar Kulit dan Psiakitri
  • Jika badan berada dalam kejutan, kebanyakan nutrien dan oksigen akan pergi kepada organ utama bukan kulit.
  • Jadi, tekanan yang kronik dan ketakutan boleh menjadi punca kedutan dan keguguran rambut.
  • Penyelesaian: teliti kembali apakah perkara yang dapat membantu anda rehat sama ada menikmati kopi bersama kawan atau yoga dan lakukannya selalu.
  • Senaman membantu mengurangkan tekanan. Ia meningkatkan pengaliran darah, membawa okisgen dan nutrien kepada kulit serta mengembalikan kompleksi pada wajah.
8. Bergantung kepada solekan untuk melindungi wajah daripada matahari
  • Banyak jenama solekan mengakui dipersiapkan dengan bahan penghalang sinar mentari, tetapi ia sebenarnya masih tidak cukup untuk mengelakkan kulit rosak dan mengalami penuaan.
  • "Banyak alat solekan mengandungi bahan pelindung kulit daripada sinar UVB (gelombang ultraviolet panjang) tetapi tidak menghalang penembusan UVA (gelombang ultraviolet pendek), yang menjadi punca garis halus, tompokan pada kulit dan pembukaan pori-pori"
Ann Glaser
  • Penyelesaian: sapukan losen atau pelembap menghalang sinaran UVA dan UVB, kemudian baru mulakan solekan.
9. Fokus Hanya Pada Kedutan
  • Garis kedutan bukan satu-satunya petanda usia meningkat kerana bintik gelap dan pigmentasi juga menyebabkan kulit menjadi kusam sekaligus menampakkan seseorang kelihatan berusia.
  • Warna kulit tidak sekata seperti bintik coklat itu juga boleh menyebabkan wanita kelihatan 10 tahun lebih tua berbanding usia sebenar.
  • Penyelesaian: selalu buat rawatan pengelupasan, buang kulit mati dan gunakan produk pencerahan. Jangan lupa sapu losen pelindung tabir suria.
10. Melupakan Kulit Leher dan Tangan
  • Leher dan tangan sering dilupakan, sedangkan dalam kajian pada tahun 2006 oleh jurnal Plastic and Reconstructive Surgery mendapati wanita yang memiliki bintik dan kedut pada tangan selalunya dianggap tua berbanding mereka yang memiliki kulit tangan halus dan licin.
  • Penyelesaian: Selalu sapukan krim anti penuaan di leherdan belakang tangan untuk menghalang ia tua sebelum waktu.
11. Lupa Kaca Mata Hitam
  • Perbuatan berulang seperti ketawa dan mengerutkan dahi menghasilkan garis serta kedutan pada muka dalam jangka panjang.
  • Justeru, walaupun pada musim sejuk, kenakan cermin mata hitam dengan pelindung UVA/UVB. Pastikan kanta jenis UV Coated.
12. Gunakan Sabun
  • Ada orang mencuci muka menggunakan pencuci biasa, tapi tahukah anda, sabun yang kuat boleh megganggu penghasilan minyak semula jadi kulit.
  • "Walaupun kulit kering bukan penyebab kedutan, tetapi ia mampu menyerlahkan lagi garisan.Kulit kering juga tidak dapat melindunginya daripada bakteria dan virus"
Ann Glaser
  • Penyelesaian: Cuci wajah menggunakan pencuci bebas sabun dan sapukan pelembap.
Sumber: 
Berita Harian (Famili BH2)
15.8.2014
Diharapkan dengan sedikit tips yang dikongsikan di sini, dapat membantu anda (terutamanya kaum hawa) untuk tampil lebih cantik seiring dengan usia anda. Kalau yang tak mamah dek usia (macam Che Ta kita), itu merupakan satu bonus dan kelebihan yang diberikan oleh Allah.. So, jangan lupa untuk mengucapkan syukur.. Alhamdulillah.

Semoga bertemu lagi dalam entri yang akan datang.. Wallahua'lam.

Friday, June 13, 2014

TEKNIK BETUL BERSIHKAN RAMBUT

Salam Jumaat dan salam Nisfu Sya'aban.
Semoga kita mendapat keberkatan di hari Jumaat Penghulu segala hari ini.. amiin.

Sebelum ni aku pernah berkongsi tips tentang LELAKI DAN PENJAGAAN RAMBUT (rujuk sini). Untuk entri kali ni pulak aku ingin kongsikan bagaimana teknik yang betul untuk bersihkan rambut (Flexible untuk lelaki dan perempuan). Mungkin sebelum ini kita main belasah je membersihkan rambut.. tapi dengan adanya teknik yang betul membersihkan rambut ni sedikit sebanyak ianya dapat membantu kita memelihara kesihatan rambut kita supaya kekal sihat dan lebat seperti Dato' Samy Vellu.. hehe. Bagi kaum hawa pula, rambut tu kan mahkota anda.. :)

OK.. Jom kita lihat bagaimana teknik betul bersihkan rambut..

Mencuci rambut memang nampak mudah, tetapi ia mungkin tidak benar-benar bersih sekiranya gagal melakukan dengan sempurna.

Sedarkah anda teknik yang betul membezakan kesihatan rambut anda. Sebenarnya, cara mencuci rambut akan menentukan rambut sihat, bersinar dan menghilangkan kelemumur secara optimum. Hanya satu kesilapan cucian saja, anda sudah merosakkan helaian rambut tanpa disedari.

Hingga akar umbi
Adalah penting membersihkan rambut dengan menggosok syampu hingga bahagian akar umbi kerana ia mampu meningkatkan aliran darah ke kulit, selain merangsang pertumbuhan rambut. Ketika sesi menggosok rambut, gunakan teknik gosokan tegak dengan tekanan sederhana. Jangan amalkan meramas rambut yang boleh mengusutkan rambut anda.

Panduan cucian
  1. Mulakan dengan membilas rambut. Sama seperti pakaian, anda perlu bilas rambut sebelum menambah bahan pencuci. Rambut perlu basah sebelum meletakkan syampu. Lebih baik menggunakan air panas kerana ia membuka liang rambut untuk menghapuskan kotoran. Selain itu, penyerapan minyak dalam liang rambut lebih cepat berlaku.
  2. Bagi mereka yang mempunyai rambut panjang ata paras bahu, lindungi kerapuhan hujung rambut dengan membasahkan rambut dengan meningkatkan kelembapan dan memberikan proses cucian berlaku dengan licin. Rambut juga akan lebih bersinar. 
  3. Anda hanya perlu syampu rambut pada kulit kepala. Buih yang ada disapu dari atas rambut sehingga akarnya. Ini kerana rambut yang paling dekat dengan kulit kepala dipanggil rambut bongsu manakala hujung rambut itu adalah rambut sulung dan paling mudah rapuh.
  4. Jangan gunakan syampu lebih daripada kuantiti yang anda perlukan. Cuma bagi yang memiliki rambut tebal atau panjang, penggunaannya adalah lebih dua kali ganda. Setiap kali membasuh rambut, ibaratkan anda mencuci tangan halus anda.
  5. Ada arahan pada botol syampu menyarankan cucian dua kali dilakukan, sila abaikan. Sekali saja sudah mencukupi melainkan rambut sangat kotor dan syampu pertama tidak menghasilkan buih.
  6. Selepas bilasan dibuat, perah rambut anda. Kemudian, sapukan perapi dan bungkus rambut seberapa lama. Lebih lama, lebih baik untuk penyerapan rambut. Jangan letakkan perapi pada akar rambut kerana ia merosakkan minyak semula jadi rambut.
  7. Akhiri proses cucian dengan ari sejuk untuk menutup liang rambut dengan ketat dan lebih bersinar.

Pilih syampu sesuai
  • Guna syampu dan perapi khas untuk rambut anda. Jika jenis rambut kering, pilih produk pelembap. Untuk yang mewarnakan rambut, pilih formula warna.
  • Kekerapan cucian bergantung kepada jenis rambut. Bagi rambut minyak, perlu syampu setiap hari manakala rambut normal atau kering, lakukan tiga atau empat kali seminggu.
  • Sebaik-baiknya gunakan air penapis untuk cucian kerana mengandungi mineral dan membuang karat.
Semoga entri ini dapat memberi manfaat kepada anda.

Sumber: Berita Harian

Friday, April 11, 2014

ANDAI MASA BOLE DIBELI

Salam Jumaat dan salam blogger.

Aku kembali dengan kisah dan teladan yang aku ambil artikelnya dari Surat Khabar Utusan Melayu (akhbar tulisan jawi - sekarang sudah tidak diterbitkan lagi) beberapa bulan (berbulan-bulan atau mungkin tahun) yang lalu.

Andai Masa Boleh Dibeli
Di sebuah negeri, ada seorang anak yang hidup dalam sebuah keluarga bahagia. Tetapi dia tidak pernah mensyukuri kebahagiaan hidupnya itu. Dia sering mengganggu dan menimbulkan kemarahan orang lain.

Salah satu sifat buruknya ialah menganggap remeh sesuatu perkara dan suka bertangguh. Apabila disuruh meminta maaf atas perlakuan buruknya kepada orang lain, anak itu selalu berkata, "Ahh.. tidak mengapa, esok lusa boleh minta maaf."

Setelah umurnya meningkat, anak ini mula bersekolah. Dia bahagia apabila mendapat ramai kawan di sekolah. Tetapi dia tidak pernah mensyukuri kebahagiaan itu. Dia menganggap semua itu adalah perkara biasa yang sewajarnya diperolehinya.

Suatu hari, dia berkelahi dengan teman baiknya. Walaupun dia tahu perbuatan itu salah, tetapi anak ini tidak pernah mengambil inisiatif untuk meminta maaf dan berbaik-baik semula dengan teman baiknya itu. Alasan yang sering diberikannya ialah, "Ahh.. tidak mengapa, esok lusa boleh minta maaf."

Bagaimanapun, sekali sekala dia rindukan teman-temannya. Namun dia tidak pernah menghubungi mereka atau sering lewat membalas panggilan teman-temannya itu.

Dia selalu berkata, "Ahh.. aku letih, besok sahajalah aku hubungi mereka." Keadaan ini sebenarnya tidak mengganggu hidupnya kerana dia masih mempunyai rakan-rakan sepejabat yang boleh diajak keluar dan berhibur. Waktu pun berlalu, dia lupa sama sekali untuk menelefon teman-temannya.

Setelah dia berkahwin dan mempunyai anak, dia terus bekerja keras untuk membahagiakan keluarganya. Dia tidak pernah lagi membeli bunga untuk isterinya., ataupun mengingat hari ulang tahun isteri dan juga hari perkahwinan mereka.

Kadang-kadang dia berasa bersalah dan ingin menyatakan kepada isterinya "Aku Cintakan Kamu," tapi dia tidak pernah melakukannya. Alasannya, "tidak apa... esok lusa pasti aku menyatakan."

Dia juga tidak pernah sempat meraikan pesta hari jadi anak-anaknya. Anak-anak mula menjauhinya. Suatu hari, berlaku kemalangan dan isterinya cedera parah. Waktu itu dia sedang bermesyuarat. Ketika sampai di hospital, isterinya sedang bertarung dengan maut.

Sebelum sempat dia berkata, "Aku Cintakan Kamu," isterinya menghembuskan nafas terakhir. Remuk hatinya dan dia mula mendekati anak-anaknya. Tetapi baharu disedarinya, anak-anaknya tidak mahu berkomunikasi dengannya.

Anak-anaknya kini sudah dewasa dan mempunyai kehidupan dan keluarga sendiri. Tidak ada yang mempedulikannya lagi kerana sebelum ini dia sendiri tidak pernah mempunyai masa untuk anak-anak.

Dia pindah ke rumah jagaan orang tua yang menyediakan layanan baik dengan wang simpanannya. Wang itu sebenarnya hendak digunakan untuk bercuti ke tempat-tempat menarik di luar negara selepas persaraannya.

Tetapi semua wang itu kini terpaksa digunakan untuk pembiayaannya di rumah jagaan orang tua itu. Sejak itu sehingga dia meninggal, hanya ada orang tua dan jururawat yang menjaganya.

Dia kini merasa sangat kesepian, perasaan yang tidak pernah dirasakan sebelum ini. Ketika di saat akhir nyawanya dia memanggil jururawat dan berkata, "jika waktu boleh kubeli, aku rela menukarkan semua hartaku untuk mendapatkannya, walaupun hanya beberapa saat sahaja."

Tetapi sayangnya semua sudah terlambat. Dan dia meninggal dengan linangan air mata dipipinya.


Thursday, September 12, 2013

FEELING SO SAD.. :-(

Salam..
Dear blog,
Hari ini aku rasa sangat sedih..
Sedih dituduh benda yang aku tak buat
Sedih dituduh oleh insan yang aku sayang dan hormat
Aku rasa sedih.. sedih sangat..
Dan untuk kali pertamanya aku menangis atas tuduhan itu..

Dear blog,
Aku sedar.. ini mungkin ujian Allah
Dan ini juga mungkin kafarah di atas dosa-dosa yang aku lakukan
Tapi..
Tak boleh ke selidik dan tanya dulu sebelum nak jatuhkan hukuman??

Dear blog,
Aku sedar.. aku jahat
Aku pernah buat silap
Dan aku yakin, ini adalah balasan atas dosa-dosa aku tu..
Apalah sangat ujian yang aku sedang hadapi sekarang ni berbanding dengan dosa-dosa yang aku lakukan dulu..
Aku terima..
Aku cuba untuk redha...
Tapi dituduh untuk sesuatu yang aku tak buat oleh orang yang aku sayang dan hormat.. ia amat menyakitkan

Dear blog,
Mungkin selama ni aku pernah membuat orang lain menangis kerana perbuatan dan kata-kata aku
Dan hari ini.. aku sedang menjalani hukuman yang walaupun tak setimpal dengan apa yang aku dah pernah buat dulu, tapi ianya amat terkesan dalam hati aku

Dear blog,
Akan ku cuba memujuk hati ini
Untuk menerima dengan redha..
Jangan sekali-kali berkecil hati dengan tuduhan dan kata-katanya itu
Kerana apa yang pernah aku lakukan padanya dulu.. dia dengan redha menerima aku kembali
Biarpun hatinya lebih remuk daripada apa yang aku rasa sekarang ini
Biarlah aku terluka..
Kerana aku sendiri telah melukai hatinya berbelas tahun dahulu
Apalah sangat kelukaan yang aku alami sekarang berbanding dengan parut di hatinya yang mungkin belum pun sembuh kerana perbuatanku

Aku redha ya Allah..
Aku terima ujianmu ini dengan hati terbuka
Aku tak mahu sekelumit pun perasaan jahat yang dibisikkan oleh syaitan itu mempengaruhi mindaku
Aku tetap akan menghormati dan menyayanginya biarpun kadangkala kata-katanya bisa menggores hati dan perasaanku

Dear blog,
Di kala aku mula menaip tadi, aku rasa sangat sedih
Alhamdulillah, setelah meluahkannya di sini membuatkan aku terfikir..
Aku tak patut ada perasaan buruk itu padanya kerana apa yang aku lakukan dulu lebih dalam lukanya berbanding apa yang aku lalui sekarang ini
Aku redha sekiranya ini adalah ujian Allah untuk aku

Ya Allah,
Kau buangkanlah perasaan-perasaan jahat yang cuba ditiupkan oleh iblis la'natullah 'alaihi itu dari hatiku
Supaya aku tidak terus berfikir yang buruk-buruk sebagai tanda protes ku kepadanya
Kerana aku yakin aku ada Kau ya Allah
Kau tidak akan menguji hamba-Mu dengan apa yang mereka tidak layak untuk diuji

Ya Allah,
Andai ujian ini adalah salah satu cara untuk aku mendapat hidayah-Mu, aku redha Ya Allah
Sesungguhnya aku bersyukur..
Kerana biarpun aku ini seringkali melakukan dosa kepada-Mu
Kau tak melupakan hamba-Mu yang hina ini
Kerana aku tahu..
Engkau Tuhan yang bersifat dengan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim
Dengan sifat pengasih dan penyayang-Mu itulah kau menurunkan ujian-Mu buatku
Supaya aku tersedar yang aku masih memiliki-Mu
Tempat untuk bergantung segala harapan
Tempat untuk mengadu segala masalah
Terima kasih ya Allah kerana tidak membiarkan aku terlarut dengan perasaan yang bukan-bukan terhadapnya..

Dear blog,
Terima kasih kerana beri aku peluang untuk mencatatkan sesuatu di sini
Alhamdulillah, dengan catatan ini telah memberi kesedaran kepadaku
Dengan catatan ini juga, segala perasaan aku yang tidak enak sebelum menaip di sini tadi juga telah sirna
Sekurang-kurangnya aku berasa lega
Kerana aku tidak menjadikan laman sosial ini sebagai tempat aku melepaskan amarahku
Terima kasih sekali lagi..