Pages

Friday, April 11, 2014

ANDAI MASA BOLE DIBELI

Salam Jumaat dan salam blogger.

Aku kembali dengan kisah dan teladan yang aku ambil artikelnya dari Surat Khabar Utusan Melayu (akhbar tulisan jawi - sekarang sudah tidak diterbitkan lagi) beberapa bulan (berbulan-bulan atau mungkin tahun) yang lalu.

Andai Masa Boleh Dibeli
Di sebuah negeri, ada seorang anak yang hidup dalam sebuah keluarga bahagia. Tetapi dia tidak pernah mensyukuri kebahagiaan hidupnya itu. Dia sering mengganggu dan menimbulkan kemarahan orang lain.

Salah satu sifat buruknya ialah menganggap remeh sesuatu perkara dan suka bertangguh. Apabila disuruh meminta maaf atas perlakuan buruknya kepada orang lain, anak itu selalu berkata, "Ahh.. tidak mengapa, esok lusa boleh minta maaf."

Setelah umurnya meningkat, anak ini mula bersekolah. Dia bahagia apabila mendapat ramai kawan di sekolah. Tetapi dia tidak pernah mensyukuri kebahagiaan itu. Dia menganggap semua itu adalah perkara biasa yang sewajarnya diperolehinya.

Suatu hari, dia berkelahi dengan teman baiknya. Walaupun dia tahu perbuatan itu salah, tetapi anak ini tidak pernah mengambil inisiatif untuk meminta maaf dan berbaik-baik semula dengan teman baiknya itu. Alasan yang sering diberikannya ialah, "Ahh.. tidak mengapa, esok lusa boleh minta maaf."

Bagaimanapun, sekali sekala dia rindukan teman-temannya. Namun dia tidak pernah menghubungi mereka atau sering lewat membalas panggilan teman-temannya itu.

Dia selalu berkata, "Ahh.. aku letih, besok sahajalah aku hubungi mereka." Keadaan ini sebenarnya tidak mengganggu hidupnya kerana dia masih mempunyai rakan-rakan sepejabat yang boleh diajak keluar dan berhibur. Waktu pun berlalu, dia lupa sama sekali untuk menelefon teman-temannya.

Setelah dia berkahwin dan mempunyai anak, dia terus bekerja keras untuk membahagiakan keluarganya. Dia tidak pernah lagi membeli bunga untuk isterinya., ataupun mengingat hari ulang tahun isteri dan juga hari perkahwinan mereka.

Kadang-kadang dia berasa bersalah dan ingin menyatakan kepada isterinya "Aku Cintakan Kamu," tapi dia tidak pernah melakukannya. Alasannya, "tidak apa... esok lusa pasti aku menyatakan."

Dia juga tidak pernah sempat meraikan pesta hari jadi anak-anaknya. Anak-anak mula menjauhinya. Suatu hari, berlaku kemalangan dan isterinya cedera parah. Waktu itu dia sedang bermesyuarat. Ketika sampai di hospital, isterinya sedang bertarung dengan maut.

Sebelum sempat dia berkata, "Aku Cintakan Kamu," isterinya menghembuskan nafas terakhir. Remuk hatinya dan dia mula mendekati anak-anaknya. Tetapi baharu disedarinya, anak-anaknya tidak mahu berkomunikasi dengannya.

Anak-anaknya kini sudah dewasa dan mempunyai kehidupan dan keluarga sendiri. Tidak ada yang mempedulikannya lagi kerana sebelum ini dia sendiri tidak pernah mempunyai masa untuk anak-anak.

Dia pindah ke rumah jagaan orang tua yang menyediakan layanan baik dengan wang simpanannya. Wang itu sebenarnya hendak digunakan untuk bercuti ke tempat-tempat menarik di luar negara selepas persaraannya.

Tetapi semua wang itu kini terpaksa digunakan untuk pembiayaannya di rumah jagaan orang tua itu. Sejak itu sehingga dia meninggal, hanya ada orang tua dan jururawat yang menjaganya.

Dia kini merasa sangat kesepian, perasaan yang tidak pernah dirasakan sebelum ini. Ketika di saat akhir nyawanya dia memanggil jururawat dan berkata, "jika waktu boleh kubeli, aku rela menukarkan semua hartaku untuk mendapatkannya, walaupun hanya beberapa saat sahaja."

Tetapi sayangnya semua sudah terlambat. Dan dia meninggal dengan linangan air mata dipipinya.


No comments: