Kepada mereka yang menyambut Tahun Baharu Cina.. semoga tahun ayam pada tahun ini akan memberi lebih banyak kejayaan dan kebahagiaan kepada anda.
Alhamdulillah.. masih diberi kesempatan oleh Yang Maha Menghidupkan, Allahu Rabbul Jalil mencoret sesuatu di sini. Sekarang saya berada di Terengganun, pulang bercuti ke rumah mertua sempena cuti Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah. Sambil bercuti, mencuri sedikit masa terluang untuk mengemaskini sesuatu di sini. Semoga perkongsian kali ni dapat memberi manfaat kepada saya dan juga para pembaca sekalian.
Kali ni dalam slot motivasi dan kisah dan teladan saya ingin berkongsi cerita mengenai Berbuat Baiklah Dengan Semua Orang. Mungkin ada dikalangan kita yang memilih-milih untuk berkawan atau memandang rendah terhadap seseorang, diharapkan kisah ini dapat dijadikan iktibar untuk kita memperbaiki diri dan amalan kita untuk berbuat baik dengan semua orang tanpa mengira apapun status mereka. In shaa Allah.
Berbuat Baiklah Dengan Semua Orang
Bertahun-tahun lalu, pada suatu malam hujan lebat, seorang lelaki tua dan isterinya masuk ke sebuah lobi hotel di Philadelphia. Mereka cuba mencari tempat berteduh daripada hujan lebat ketika itu. Pasangan ini mendekati meja penyambut tetamu untuk bertanyakan bilik di hotel itu.
"Dapatkah anda memberikan kami sebuah bilik di sini?" tanya si suami.
Penyambut tetamu itu, seorang lelaki yang ramah dengan senyuman memandang pasangan itu dan menjelaskan bahawa ada tiga persidangan besar sedang berlangsung di bandar itu.
"Semua bilik kami telah penuh," kata penyambut tetamu itu.
"Tetapi saya tidak akan membiarkan pasangan yang baik seperti anda keluar kehujanan pada pukul satu dinihari. Mungkin anda mahu tidur di bilik saya?
"Tidak terlalu bagus, tetapi cukup untuk membuat anda tidur dengan selesa malam ini."
Ketika pasangan itu kelihatan ragu-ragu, penyambut tetamu itu memujuk, "Jangan khuatir tentang saya. Saya baik-baik sahaja," kata penyambut tetamu itu. Akhirnya pasangan itu bersetuju.
Pagi itu ketika mahu keluar dari hotel, lelaki tua itu berkata kepada penyambut tetamu, "Anda seperti seorang pengurus yang baik dan seharusnya menjadi pemilik hotel terbaik di Amerika. Mungkin suatu hari nanti saya akan membina sebuah hotel untuk anda."
Penyambut tetamu itu memandang ke arah mereka dan tersenyum. Mereka bertiga tertawa. Ketika pasangan ini dalam perjalanan, mereka sependapat bahawa penyambut tetamu itu seorang yang sangat membantu dan sukar untuk mencari orang sebaik itu.
Dua tahun kemudian, disaat penyambut tetamu tadi hampir lupa tentang kejadian itu, dia telah menerima surat daripada lelaki tua tersebut. Surat itu telah mengingatkan dia semula kejadian pada malam hujan lebat dua tahun lalu.Di dalam surat itu juga disertakan tiket penerbangan pergi balik ke New York. Lelaki tua itu meminta penyambut tetamu itu untuk datang mengunjunginya.
Kemudian, lelaki tua itu berjumpa dengan penyambut tetamu tadi di suatu jalan di kota besar itu dan menunjukkan sebuah bangunan baharu yang berdiri megah di situu.
"Itu," kata lelaki tua itu, "adalah hotel yang baharu sahaja saya bina untuk kamu uruskan."
"Kamu pasti bergurau," jawab si penyambut tetamu tadi.
"Saya jamin yang saya tidak bergurau," kata leaki tua itu dengan tersenyum lebar.
Nama lelaki tua itu ialah William Waldorf Astor, dan bangunan megah tersebut adalah bentuk asal hotel Waldorf-Astoria.
Penyambut tetamu yang kemudian menjadi pengurus pertama adalah George Charlse Boldt. Dia tidak akan melupakan kejadian yang membawanya menjadi pengurus salah satu jaringan hotel paling berprestij di dunia.
************
Saya pasti mungkin ada dikalangan pembaca yang sudah mengetahui kisah ini. Jadi, rasanya tak salah kalau kita melayan semua orang dengan sama rata dan berbuat baiklah dengan semua orang walaupun kita tidak mengenali mereka kerana setiap kebaikan yang kita lakukan itu pasti akan ada ganjarannya. Kalaupun tidak mendapat balasan di dunia, in shaa Allah, kita akan mendapat ganjarannya di akhirat nanti. Sekadar itu dahulu.. Wallahu a'lam
No comments:
Post a Comment