Apa khabar sahabat-sahabat pembaca sekalian. Alhamdulillah, hari ni dah masuk hari yang ke-12 di tahun baharu 2017. Rasanya, masih belum terlambat untuk saya mengucapkan SELAMAT TAHUN BAHARU 2017 kepada para pembaca sekalian. Semoga tahun 2017 ini akan melakar pelbagai kejayaan buat anda semua.
Alhamdulillah... sesi persekolahan juga telah masuk minggu yang kedua. Pasti semasa hari pertama persekolahan tempoh hari, ibu bapa sibuk menguruskan pendaftaran anak-anak mereka. Sebenarnya, sebelum tu lagi mereka dah sibuk untuk membuat persiapan kelengkapan persekolahan anak-anak. Bagi saya, tahun ni saya tak membuat persiapan sebelum persekolahan kerana di PASTI tempat anak saya sekolah, mereka sudah sediakan beg dan alat tulis. Cuma bawa badan je.. hehe.
Kepada adik-adik yang baharu memulakan sesi persekolahan, abang harap biarlah momentum nak ke sekolah dan semangat untuk belajar tu berkekalan hingga ke akhir tahun. Semoga adik-adik akan beroleh kejayaan di dalam pelajaran.
Bersempena dengan sesi persekolahan yang baharu bermula.. hari ni abang nak berkongsi kisah yang boleh dijadikan motivasi untuk adik-adik sebagai pemangkin untuk menjadi insan yang berjaya di dalam pelajaran mahupun kehidupan. Kisah dan teladan kita hari ni bertajuk Kegagalan Kerana Malas Belajar.
Kegagalan Kerana Malas Belajar
Pada suatu hari, ada seorang tua yang sekian lama bertapa di dalam sebuah gua ingin membina sebuah rumah. Selama ini, dia hidup dalam sebuah gua yang kecil. Perkara pertama yang dilakukannya ialah turun ke kaki gunung untuk membeli alat pemotong kayu di kedai peralatan di pekan terdekat.
"Saya ingin pindah dari gua dan membina rumah sendiri dari kayu," katanya dengan bangga kepada pemilik kedai tersebut. Lalu dia menyambung, "Jadi saya perlu alat pemotong kayu yang paling baik, tiada masalah berapa pun harganya."
Pemilik kedai itu segera menuju ke gudang penyimpanan barang dan kembalai dengan sebuah mesen gergaji yang nampak kuat dan berkilat. "Ini alat pemotong yang terbaik di pasaran," kata pekedai itu.
"Dengan alat ini awak mampu menebang kayu seperti pisau memotong mentega. Saya jamin dengan alat pemotong kayu ini, pekerjaan memotong dan menebang kayu yang memakan waktu sebulan, boleh diselesaikan dalam satu hari sahaja. Jika tidak, saya kembalikan wang," ujarnya lagi.
Orang tua itu sangat tertarik dengan penjelasan pemilik kedai peralatan itu tadi. Lalu dia membeli gergaji tersebut dan kembali semula ke gua tempat dia bertapa.
Sebulan kemudian, ketika pekedai itu sibuk menguruskan kedai, dia mendengar suara teriakan orang tua itu, "Hai orang muda, saya datang untuk memulangkan alat pemotong kayu ini. Tolong kembalikan wang saya seperti yang awak janjikan dahulu."
Pemilik kedai itu memandang wajah orang tua tadi. Dia terkejut melihat penampilan orang tua itu yang tidak terurus. Orang tua itu kelihatan seperti tidak tidur berminggu-minggu. Kelihatan bekas tompok-tompok darah dan peluh pada pakaiannya. Nampak seperti dia bekerja keras setengah mati.
"Apa sudah jadi dengan pak cik? Wajah pak cik kelihatan cengkung dan tidak bermaya," tanya pekedai itu terkejut.
Dengan sisa-sisa kekuatan yang ada padanya, orang tua itu mengangkat mesin gergaji itu ke atas meja. Sambil merungut-rungut, dia berkata, "Alat pemotong kayu apa yang kau jual ni?
"Kau kata alat ini mampu menebang pokok dalam sehari sahaja. Saya sudah gunakan alat pemotong ini selama 30 hari, tetapi kerja saya belum selesai juga. Seperti yang engkau janjikan, tolong pulangkan wang saya."
Pekedai itu hairan dan meminta maaf sambil berkata, "Tentu!!! janji harus ditepati. Tetapi biar saya periksa dahulu alat ini. Mungkin ada yang tidak kena." Lalu pekedai itu menarik tali yang ada pada gergaji dan mesin itu berbunyi, "brrrrr!!!"
Disebabkan terkejut dengan bunyi enjin yang kuat itu, orang tua itu terpelanting ke belakang meja. Dia merasakan seolah-olah bunyi peluru yang keluar dari mesin itu. Lalu dia berteriak kepada pekedai itu, "bunyi apakah itu???"
Moral
Seringkali kegagalan bukan disebabkan kurangnya kemampuan atau usaha kita melakukan sesuatu. Kadang-kadang kegagalan disebabkan sedikitnya pengetahuan yang kita miliki. Kita telah menjadi orang yang sangat tidak mahu belajar sesuatu.
Jadi adik-adik, jangan malas untuk belajar sesuatu yang baharu. Kalau tak tahu, tak salah untuk kita bertanya kepada orang yang lebih tahu. Bak kata pepatah.. malu bertanya sesat jalan. Sampai di sini sahaja untuk kali ini.. in shaa Allah, kita berjumpa lagi di kisah-kisah yang akan datang. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment