Alhamdulillah.. masih diberi kesempatan untuk bersiaran di sini dengan izin-Nya. Sedar tak sedar, kita sudahpun semakin hampir menuju ke penghujung tahun 2016. Beberapa hari lagi 2016 akan melabuhkan tirainya dan bakal menyusul tahun 2017.
Sudah tentunya, sepanjang tahun 2016, pelbagai lakaran peristiwa dan kisah dalam episod kehidupan telah kita lalui. Pasti ada episod suka dan duka, tawa dan tangis, datang dan pergi, berjaya dan gagal dan bermacam-macam lagi warna-warni kehidupan yang telah kita lakar sepanjang tahun 2016.
Yakinlah.. setiap kepahitan yang kita lalui pasti akan ada kemanisan di penghujungnya. Asalkan kita menghadapinya dengan tenang dan sabar, Allah pasti bersama dengan kita. Ambillah iktibar daripada setiap episod hitam kita itu untuk dijadikan bekalan dan pengajaran untuk kita menempuh hari-hari mendatang.
OK.. panjanglah pulak intro nya. :-)
Hari ni, saya nak berkongsi cerita mengenai kepahitan yang manis. Semoga perkongsian ini dapat memberi sedikit motivasi dan inspirasi buat anda. In Shaa Allah..
KEPAHITAN YANG MANIS
Pada suatu hari, seorang kaya telah menerima sebiji buah tembikai pemberian daripada tetamunya. Kemudian orang kaya itu memanggil Luqman iaitu hambanya yang paling patuh dan takut padanya. Luqman juga merupakan hamba yang paling disayanginya. Sebaik Luqman tiba, orang kaya itu memotong sebahagian tembikai dan memberikannya kepada Luqman.
Lalu, Luqman pun memakan tembikai tersebut dengan penuh kelazatan. Terpancar kenikmatan pada wajahnya itu. Lalu, tuannya itu memberikannya sebahagian lagi kerana seronok melihat hamba kesayangannya itu sedang menikmati buah pemberiannya.
Luqman menerimanya dan memakannya lagi dengan senyuman dan keikhlasan. Orang kaya tadi terus memotong dan memberi buah tembikai itu kepada Luqman sehinggalah hanya tinggal satu bahagian lagi. "Biar saya pula yang memakan sebahagian yang tinggal ini untuk merasa betapa manis dan sedapnya tembikai yang kamu makan ini."
Sebaik sahaja orang kaya itu menggigit buah itu, terpancar satu rasa kepahitan yang teramat sangat. Lidahnya terasa pahit dan tekaknya mula terasa loya. Dia hampir pengsan dek kerana kepahitan buah tembikai tersebut.
"Bagaimana kamu memakan buah sepahit racun ini ibarat kamu sendang memakan manisan yang lazat? Betapa tingginya kesabaran kamu? Hanya Allah SWT sahaja yang tahu betapa siksanya kepahitan yang kamu tanggung sebentar tadi. Mengapa kamu tidak berkata apa-apa? Dan kenapa kamu tidak berterus terang sahaja kepada saya tentang kepahitan buah ini?" soal si kaya tadi.
Luqman menjawab, "Saya sudah memakan banyak hidangan yang sedap-sedap daripada tangan tuan. Wahai tuanku yang tercinta, tuan telah memberikan saya pelbagai kelazatan dan kesenangan serta kurnia yang banyak yang telah membuatkan saya malu kepada tuan kerana tidak mungkin mampu membalasnya.
"Jadi, bagaimana mungkin saya semudah itu ingin berkata buah itu pahit dan saya tidak boleh memakannya, sedangkan ia juga daripada tangan tuan? Malah, sepahit manapun sesuatu yang tuan berikan, semuanya terasa manis bagi saya kerana setiap zarah dalam tubuh saya ini subur kerana kasih sayang daripada tuan. Bagaimana mungkin suatu rasa daripada tangan tuan yang pemurah ini, mengalirkan rasa pahit ke dalam diri saya?"
Pengajarannya:
Demikianlah rasa kasih, hormat, taat dan takut seorang hamba kepada tuannya. Begitu juga kita manusia sebagai seorang hamba kepada Allah SWT. Allah SWT telah memberi kepada kita begitu banyak kemanisan di dalam hidup ini. Hidup kita tidak lekang daripada rezeki, tidak sunyi daripada senyuman dan tidak sepi daripada kejutan yang menggembirakan.
Bagaimana mudah kita menuding jari kepada Allah SWT apabila diberi sedikit ujia? Bayangkan dalam sehari ada 24 jam, mengapa hanya 20 minit dari waktu itu Allah jadikan hujan dan kita sudah mengeluh kerana terhalang daripada melakukan aktiviti harian.
Cuba kita renungkan hakikat tersebut.. kerana kasih dan cinta yang mendalam, tembikai yang pahit boleh terasa manis.. begitulah kehidupan ini. Seandainya mendalam dan kukuhnya cinta dan kasih kita kepada Allah, nescaya setiap dugaan yang menimpa akan terasa manis. Malah tidak wujud sama sekali istilah pengalaman pahit dalam hidup ini kerana setiap pengalaman itu adalah takdir Allah SWT.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment