Baru-baru ini, saya terbaca satu kisah mengenai ikhlas dalam sebuah akhbar. Ianya sangat menarik dan menyentuh perasaan. Terfikir sejenak di minda adakah selama ini saya benar-benar tergolong dalam golongan orang yang ikhlas?? Tidak kiralah sama ada ikhlas dalam melakukan ibadat, ikhlas dalam pekerjaan, ikhlas dalam perhubungan, dll.... saya kurang pasti jawapannya. Ini kerana, kadangkala, hati seringkali merungut apabila disuruh melakukan sesuatu kerja, tidak berpuas hati dengan apa yang diperolehi, kemalasan apabila hendak melakukan ibadat kerana letih dan macam-macam lagi rungutan dan sungutan tanda protes.. Ikhlaskah namanya itu??
Ikhlas ialah sikap seorang hamba dalam menjalin hubungan dengan Allah. Apabila seorang hamba itu melaksanakan tuntutan agama dan menjauhi tegahan agama semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah dan takut kepada kemurkaan-Nya, maka itulah yang dinamakan ikhlas. (HafizFirdaus.com)
Namun, apabila terbaca tentang artikel "ORANG IKHLAS ITU KUAT" di dalam akhbar tersebut, hati terpanggil untuk berkongsi kisah tersebut bersama pembaca sekalian kerana saya percaya tidak semua orang berkesempatan membacanya. Niat saya, biarlah apa yang saya rasa itu (selepas membaca artikel tersebut) tidak hanya dirasai oleh saya sahaja, tetapi biarlah manfaatnya juga dapat dirasai dan diinsafi oleh orang lain. InsyaAllah..
Jadi, marilah kita sama-sama menghayati kisah di bawah. Semoga manfaat dan faedahnya sampai kepada kita untuk renungan bersama..
Ada seorang jejaka terjumpa buku di taman. Dalam buku itu tertulis nama dan alamat pemiliknya, dan juga tertera 'Aisyah yang sedang mencari sahabat hati'.
Tergerak hati jejaka itu mengutus surat dan mengembalikan buku kepada si gadis misteri itu. Beberapa hari kemudian si jejaka mendapat balasan daripada gadis tersebut bahawa dia bersetuju berkawan dengan si jejaka, dan berterima kasih kerana menghantar buku yang hilang itu.
Hari berganti minggu dan minggu bertukar bulan. Persahabatan mula bertukar kepada perasaan sayang. Namun begitu mereka belum pernah bertemu.
Si jejaka amat teringin bertemu si gadis misteri dan begitu juga dengan si gadis.
Pada suatu hari, si jejaka dipanggil berkhidmat misi ketenteraan di luar negara. Si jejaka susah hati kerana bimbang dia mungkin tidak dapat berjumpa dengan gadis kesayangannya.
Maka ditulis sepucuk surat berbunyi:
"kalau Allah panjangkan jodoh kita, dan kamu masih sayang padaku, kita akan berjumpa suatu hari nanti. Aku akan memakai pakaian tenteraku dan membawa sekuntum mawar berwarna merah. Aku akan mengenalimu sekiranya kamu juga memegang sekuntum bunga mawar merah. Setelah itu izinkanlah aku membawamu untuk makan malam bertemu orang tuaku."
Selang beberapa tahun, pada hari kepulangan si jejaka yang diangkat sebagai perwira negara, si gadis setia itu menunggu kepulangan buah hatinya, sambil memegang sekuntum bunga mawar merah.
Diperhatikan setiap jejaka yang membawa sekuntum bungan mawar merah, seperti dalam perjanjian mereka dahulu. Begitu juga si jejaka berdebar-debar bertemu orang yang disayangi.
Tiba-tiba, si jejaka ternampak gadis yang gemuk, hitam, berjerawat, duduk di atas kerusi roda sambil melihat sekeliling persis mencari seseorang.
Kakinya kudung dan tangannya memegang sekuntum mawar merah. Si jejaka sangat terkejut melihat keadaan fizikal dan wajah gadis pujaannya selama ini amat berbeza daripada imaginasinya.
Namun dia memberanikan diri menghampiri gadis tersebut dan menyapa, Aisyah? Gadis itu melihat ke arah si jejaka dan tersenyum ceria. Si jejaka terus menghulurkan bunga mawar kepada si gadis dan berkata: "Aku amat merinduimu. Terimalah bunga ini dan pelawaanku untuk makan malam bersama ibu bapaku. Orang tuaku tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu denganmu."
Si gadis itu tersenyum lagi dan berkata: "Aku tidak tahu apa yang terjadi. Tetapi ada seorang gadis cantik jelita memberikan bunga ini kepadaku sebentar tadi. Dia memintaku memberitahu kamu bahawa dia sedang menunggu kamu di restoran di hadapan ini sekiranya kamu mempelawaku makan malam dan bertemu orang tuamu."
Berapa ramaikah lelaki yang sesuci hati jejaka ini? Dia mengotakan janjinya dan tetap berpegang kepada perasaan sayang walaupun pada mulanya dia menjangkakan gadis cacat itu adalah Aisyah. Masihkah wujud lelaki seikhlas dan seluhur hati pemuda itu?
Kesimpulannya, adakah kita benar-benar ikhlas menyintai dan menyayangi serta menerima setiap kelemahan dan kekurangan yang ada pada pasangan kita?? Tepuk dada, tanyalah hati kerana hanya hati yang mengetahui jawapannya. Kalau benar-benar anda menyintai dan menyayangi pasangan anda, terimalah ia seadanya kerana manusia itu tiada yang sempurna. Usahlah kita asyik mencari kesempurnaan sedangkan kesempurnaan itu hanyalah milik Sang Pencipta Alam Buana ini iaitulah Allah SWT.
Saya percaya, jika kita sentiasa ikhlas dalam setiap amalan dan pekerjaan kita, nescaya kemanisan dan kenikmatannya akan kita temui di penghujungnya. Jika tidak di dunia ini, insyaAllah kemanisannya kita akan kecapi di akhirat nanti. Seperti kisah pemuda di atas yang benar-benar ikhlas ingin menjadikan wanita cacat dan buruk yang disangkanya Aisyah sebagai kekasih hatinya, akhirnya bertemu kemanisan apabila gadis cacat itu bukanlah Aisyah yang sebenar. Semoga kisah ini dapat mendorong para pembaca dan saya untuk sentiasa ikhlas dalam melakukan setiap perkara. Akhir kata, semoga kita sama-sama tergolong dalam golongan orang-orang yang ikhlas dan sentiasa bertambah keikhlasannya.. amiin.
Wallahua'lam.
Kata orang,
"HUJAN EMAS DI NEGERI ORANG
HUJAN BATU DI NEGERI SENDIRI
LEBIH BAIK NEGERI SENDIRI.."
Tapi itu kata orang..
Bagi abang saya, hujan emas di negeri orang juga yang dicarinya
Hujan emas di negeri orang bisa menjanjikan pulangan yang lumayan buatnya dan keluarga..
Biar ramai orang yang menghalangnya, dia tetap dengan pendiriannya -- Hujan emas di negeri orang lebih baik dari hujan batu di negeri sendiri..
Apa yang saya boleh katakan..
Semoga Hujan Emas di Negeri Orang itu akan menjanjikan seribu kemanisan hidup yang dicari-carinya selama ini..
Semoga Hujan Emas di Negeri Orang itu tidak akan membuatkan dia lupa akan orang-orang di Negeri Hujan Batu ini terutamanya Emak..
Emak antara orang yang menghalang pemergiannya ke Negeri Hujan Emas itu..
Namun terpaksa akur dengan kehendak abang yang tetap dengan pendiriannya mahu pergi ke Negeri Hujan Emas itu..
Kata abang, biarlah dia pergi kerana dia tidak berpelajaran tinggi..
Inilah peluangnya untuk merasa tinggal di Negeri Hujan Emas dan seterusnya mencari pendapatan lebih bagi meningkatkan taraf kehidupannya dan keluarga
Esok dia akan berangkat ke Negeri Hujan Emas itu bersama ahli keluarganya setelah kurang lebih 3 bulan dia pergi sendirian di Negeri Hujan Emas itu..
Aku, emak dan adik akan menghantarnya ke KLIA selepas suboh esok hari..
Emak redha dalam kepasrahan..
Baru balik daripada makan tengahari di rumah mak
Alhamdulillah, cuaca tengahari ini cerah secerahnya..
Sang suria memancarkan cahayanya menerangi bumi Masjid Tanah sekali lagi
Biarpun semalam sang suria berselindung di balik mega mendung nan gelap dan menitiskan titis-titis hujan yang lebat berserta kilat petir sabung menyabung
Dan itu memaksa saya untuk tidak pulang ke rumah sewa di Selandar setelah isteri membenarkan saya untuk bermalam di rumah emak kerana khuatir suaminya akan kebasahan di timpa hujan yang ketika itu tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti
Tapi hari ini, syukur..
Sang mentari sudah menampakkan wajahnya yang bersinar cerah biarpun terik cahayanya kadangkala membuatkan kita kurang selesa
Namun, jauh di lubuk hati, saya mengharapkan sang mentari akan terus bersinar hingga ke petang supaya saya boleh pulang bertemu dengan isteri yang tersayang..
Dalam masa yang sama, kasihan juga melihat emak yang kini terpaksa tinggal keseorangan selepas saya dan isteri berpindah ke Selandar.
Hajat di hati memang ingin tinggal bersama emak.. namun situasi isteri yang baru bertukar dan ditempatkan di Kolej Komuniti Selandar membuatkan kami terpaksa menyewa di Selandar. Tambah merumitkan keadaan apabila isteri tidak tahu memandu apatah lagi memiliki lesen memandu. Jarak perjalanan dari Masjid Tanah ke Selandar pula memakan masa kurang lebih satu jam. Mahu tak mahu sayalah yang terpaksa berkorban berulang alik dari Selandar ke Masjid Tanah dan pulang ke rumah emak pada hujung minggu.
Serba salah dibuatnya. Yang sini emak, yang sana isteri.. Kedua-duanya perlukan perhatian tambah-tambah lagi emak. Biarpun emak faham dan mengerti situasi yang kami hadapi sekarang ini, namun jauh di sudut hati, saya tahu emak menginginkan kami tinggal bersama dengannya. Saya juga lihat, isteri tiada masalah untuk tinggal bersama ibu mertuanya (harap-harapnya, keadaan ini akan berterusan sampai bila-bila).
Dahulu, saya akui, saya jarang memikirkan perasaan dan keadaan emak. Malah pernah saya menyewa di rumah lain sedangkan sewaktu itu emak tinggal berdekatan dengan rumah yang saya sewa. Apabila saya mendapat kerja di matrikulasi ini, saya lebih rela menyewa daripada tinggal bersama emak (ketika itu emak belum berpindah ke kampung). Apabila saya tahu emak hendak membuat rumah di kampung, saya mohon bertukar ke bandar Melaka. Saya tidak mahu tinggal bersama emak.. Saya janggal bila bersama emak.. Komunikasi antara kami juga kelihatan begitu canggung. Untuk menerangkan segala sebab musabab saya berasa janggal dengan emak adalah terlalu panjang dan peribadi untuk diceritakan di sini. Secara ringkasnya, itulah sedikit gambaran tentang hubungan saya dan emak dan mungkin juga dengan adik beradik yang lain suatu ketika dahulu.
Saya tak pasti bila perasaan itu bertukar menjadi sayang biarpun saya tidak pernah menzahirkannya dengan kata-kata (kerana saya bukanlah dalam kategori insan yang mempamerkan kasih sayangnya secara terang-terang) di depan emak. Namun, hakikatnya saya mula mengambil berat tentang emak. Mungkin kadang-kadang hati saya membentak, tapi bila memikirkan hati dan perasaan emak, saya turutkan juga kemahuan emak. Saya juga sudah tidak berasa janggal berkomunikasi dan tinggal serumah dengan emak. Setelah emak membuat rumah dan berpindah ke kampung, saya yang baru bertukar ke bandar Melaka, kembali membuat surat permohonan pertukaran untuk kembali ke tempat kerja lama kerana kasihan melihat emak yang tinggal sendirian di kampung.
Dan mungkin berkat doa emak, alhamdulillah permohonan saya itu diterima biarpun mengikut logiknya permohonan saya mungkin tidak akan diluluskan kerana saya baru saja bertukar di Melaka. Dan kini, saya sekali lagi mengharapkan keajaiban itu berlaku biarpun kali ini situasinya melibatkan isteri saya. Saya benar-benar mengharapkan isteri saya dapat berpindah ke tempat yang lebih dekat supaya saya dapat kembali tinggal bersama emak. Biarpun hubungan kami pernah bermasalah sebelum ini, tapi kini saya benar-benar ingin tinggal bersama emak. Berbakti kepadanya.. Menebus kembali dosa-dosa saya kepadanya.. Menjaga dan menyayanginya sementara hayatnya dan juga hayat saya masih ada. Setiap kali saya pulang ke rumah untuk makan tengahari, emak akan menghantar saya dengan sorotan matanya di pintu gate rumah yang mana aksi itu jarang saya lihat ketika saya tinggal bersamanya dulu.. Saya akui, saya mungkin bukan anak yang baik, tapi saya sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik.
Bukankah syurga seorang anak lelaki itu letaknya di bawah telapak kaki ibu meskipun dia sudah berkahwin?? (Alangkah bagusnya jika abang-abang saya juga mengerti akan hakikat itu...)
Semoga sinar mentari itu akan terus bersinar hingga ke petang agar dapat saya merasakan kehangatan panasnya meskipun kehgatan panas itu bisa membakar diri ini..
Salam tahun baru buat para pembaca sekalian..
Hari ini, hari yang ke 11 di tahun baru (juga hari ulang tahun kelahiran Tok Ti), saya masih dengan habit yang lama -- Malas untuk meng'update' blog!
Apa yang baru di tahun baru?
Azam baru, semangat baru, impian baru, kehidupan baru.. pendek kata, semuanya mahu diperbaharui..
Ada orang memasang azam baru sedang azam lama masih belum tertunai..
Ada orang mungkin mendapat semangat baru setelah tahun sebelumnya ditimpa dengan pelbagai ujian yang maha dahsyat
Ada orang juga mungkin mempunyai impian baru untuk memiliki itu dan ini demi meningkatkan prestij dalam sosial kehidupan mereka
Dan ada orang mahu memulakan kehidupan baru dengan melupakan sejarah lampau yang mungkin penuh episod pahit payau kehidupan.
Ada orang kata blog saya macam PONDAN!!
Agak kasar juga kata-kata yang dilemparkan itu..
Saya boleh saja mengabaikan pandangan itu darpada melekat terus di minda saya
Saya juga boleh meminjam kata-kata pengacara laser lagi popular Azwan Hj Ali "ADA AKU KESAHHH!!" bagi membalas kembali pandangan yang dilemparkan kerana ini adalah blog saya dan ia merupakan hak eksklusif saya untuk mencatat sesuatu di sini mengikut gaya bahasa, interpretasi dan imaginasi saya sendiri.
Namun, atas dasar prinsip KEBEBASAN iaitu setiap orang bebas untuk menyuarakan pandangan masing-masing, justeru saya tidak mengabaikan komentar yang diberikan (akan tetapi dalam masa yang sama saya telah memadamkan komen tersebut yang dihantar di chat box saya). Sebaliknya, saya memikir dan mengambilnya dari sudut positif. Setelah dianalisa kembali, saya akui pandangan si komentar adalah benar kerana gaya bahasa yang disampaikan di blog saya sedikit dipengaruhi unsut-unsur 'keperempuanan' (mungkin kerana sering menjadikan blog blogger2 wanita sebagai rujukan), dan ke'adik-adik'an. Saya juga akui selama ini tulisan saya sering dipengaruhi emosi dan apa yang terlintas di hati tanpa menggunakan pertimbangan akal yang sewajarnya. Justeru itulah gaya bahasa entri-entri saya sebelum ini adalah lebih santai, sarcastic, outspoken dan tidak berunsur ilmiah.
Kata orang, orang lain adalah cermin bagi diri kita kerana kita tidak akan nampak atau sedar kelemahan dan kelebihan diri ktia melainkan ianya dibongkarkan oleh orang lain. Nah! di sini, si pemberi komentar di chat box saya itu adalah cermin diri saya yang menyedarkan saya tentang kelemahan sistem penulisan dan gaya bahasa saya ketika menulis di blog ini sehingga dilabel sebagai BLOG MACAM PONDAN!! Atas komen yang diberikan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada si pemberi komen itu (sekiranya masih singgah di "dunia" saya ini lagi), atas keperihatinan dan keterbukaan anda pada blog saya. InsyaAllah, saya akan cuba memperbaiki kelemahan ini dari masa ke semasa kerana kita mungkin tidak boleh memenuhi kehendak semua orang sebaliknya, kita mungkin boleh berusaha untuk menjadi lebih baik dari apa yang kita ada sekarang..
Mungkin agak janggal bagi saya menulis dalam keadaan formal seperti ini kerana saya bukanlah seorang yang skema, terlalu mengikut peraturan atau educated seperti blogger lain. Jika sebelum ini saya menulis daripada hati demi menyuarakan isi hati saya tetapi kali ini mungkin saya perlu menulis menggunakan akal yang dikurniakan oleh Allah kepada saya untuk mencoretkan sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat kepada diri saya dan juga orang lain.
Tapi, kadangkala terlintas juga di minda "PERLUKAH MENJADI ORANG LAIN DEMI MEMUASKAN HATI ORANG LAIN??" Sesungguhnya, manusia tidak pernah puas dengan apa yang mereka ada demi menjaga nama. prestij dan status yang mereka miliki..
SALAM TAHUN BARU 2011