Pages

Sunday, June 19, 2011

Cara Nabi Jaga Kesihatan Diri

Salam semua..
Cara Nabi SAW jaga kesihatan diri..

Tahukah anda bagaimana Nabi SAW menjaga kesihatan baginda bagi memastikan baginda sentiasa berada dalam keadaan sihat walaupun menggalas tugas berat dan mencabar? Kali ini, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak cara bagaimana Nabi SAW menjaga kesihatan diri baginda. Ini bukanlah bermakna Nabi SAW tidak pernah sakit.. tetapi sebenarnya baginda hanya pernah sakit beberapa kali sahaja. Di bawah saya kongsikan beberapa cara yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dalam menjaga kesihatan diri baginda.

1. Selalu bangun sebelum Subuh
Cara yang pertama adalah Rasulullah selalu bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fadhu dan solat subuh secara berjemaah. Kelebihannya bukan sahaja kita boleh mendapat ganjaran pahala bahkan dapat juga menghirup udara subuh yang segar dan nyaman dan ianya juga baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.

Berapa ramaikah dikalangan kita pada hari ini yang selalu bangun sebelum Subuh? Mungkin ada.. tapi kebanyakannya bangun mungkin untuk menonton perlawanan bola sepak ataupun bangun sebab terasa hendak buang air kecil.. Dan bila dah menonton TV sampai ke pagi.. tentulah liat untuk bangun awal dan kadangkala subuh pun terlepas. Tak salah untuk menonton perlawanan bola sepak, tapi, jangan sampai kita tak boleh bangun semasa subuh nanti dan alang-alang dah bangun tu apa salahnya kita tunaikan solat-solat sunat ataupun bertahajjud. Semoga selepas ini, kita sama-sama cuba untuk bangun lebih awal supaya kita bukan sahaja mendapat pahala solat subuh berjemaah tetapi juga dapat menyihatkan tubuh badan kita.

2. Aktif menjaga kebersihan
Cara yang kedua adalah menjaga kebersihan. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Kebersihan itu sebahagian daripada Iman". Rasulullah SAW adalah orang yang sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, baginda akan mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi.

Persekitaran yang tidak bersih boleh membawa pelbagai penyakit. Begitu juga jika kita tidak menjaga kebersihan diri, orang lain bukan sahaja tidak senang untuk bergaul dengan kita malahan penyakit juga akan mudah hinggap di tubuh kita. Sesungguhnya, apabila kita menjaga kebersihan, tidak kira kebersihan diri mahupun persekitaran, secara tidak langsung ianya akan membantu menyihatkan diri kita.

3. Tidak pernah makan berlebihan
Cara yang ketiga Nabi menjaga kesihatan dirinya adalah dengan tidak makan berlebihan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan) - (Muttafaq 'Alaih)". Atau dengan bahasa mudahnya, makanlah ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang. Hal ini kerana, apabila perut kita kekenyangan, kita mungkin akan menjadi malas untuk membuat kerja atau melakukan ibadat. Mata pulak semakin berat dan akhirnya kita tertidur dalam kekenyangan.

Oleh sebab itulah Rasulullah SAW menasihatkan kita supaya berhenti makan sebelum kekenyangan. Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada bulan Ramadhan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi sendiri selalu berpuasa sunat.

4. Gemar berjalan kaki
Baginda juga menjaga kesihatan dengan gemar berjalan kaki. Rasulullah SAW berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad mahupun apabila mengunjungi rumah para sahabat. Faedah daripada berjalan kaki adalah apabila kita berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah akan berjalan dengan lancar. Selain itu, berjalan kaki juga boleh mencegah kita daripada mendapat penyakit jantung.

Sebaliknya kita pada hari ini lebih gemar menaiki kenderaan daripada berjalan kaki. Bahkan nak menunaikan solat jumaat atau jemaah di masjid pun menaiki kenderaan walhal masjid tersebut letaknya beberapa meter sahaja dari rumah kita. Tahukah kita bahawa jika kita berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat jumaat pahalanya adalah bersamaan kita berpuasa dan Qiyamullail selama setahun.. Subhanallah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa mandi pada hari Jum’at, berangkat lebih awal (ke masjid), berjalan kaki dan tidak berkendaraan, mendekat kepada imam dan mendengarkan khutbahnya, dan tidak berbuat lagha (sia-sia), maka dari setiap langkah yang ditempuhnya dia akan mendapatkan pahala puasa dan qiyamulail setahun.” (HR. Abu Dawud no. 1077, al-Nasai no. 1364 Ahmad no. 15585. Dishahihkan oleh Al-Albani dalam Shahih al-Jami’, no. 6405)

5. Tidak pemarah
Cara yang seterusnya adalah Nabi SAW menasihatkan kita supaya tidak pemarah. Daripada Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki telah meminta nasihat daripada Nabi s.a.w. dengan katanya; Berilah nasihat kepada saya, Baginda berkata: jangan kamu marah, lalu diulangi beberapa kali, baginda menjawab; jangan kamu marah”, Hadis riwayat al-Bukhari. Ini menujukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad  tetapi lebih kepada kebersihan jiwa.

6. Optimis dan tidak putus asa
Cara yang ke enam adalah sentiasa optimis dan tidak putus asa. Sikap optimis dapat memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan bersabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah SWT.

7. Tidak pernah iri hati
Selain itu, Rasulullah juga mengajarkan kita supaya tidak iri hati. Apabila kita menjauhi sifat iri hati, ia akan dapat menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa. Apabila hati kita baik dan jiwa kita tenang maka kesihatan kita juga tidak akan terganggu. Kita juga boleh mengamalkan doa seperti berikut: "Ya Allah, bersihkanlah hatiku daripada sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah".

8. Pemaaf
Dan cara yang terakhir sekali yang boleh dipraktikkan adalah bersikap pemaaf. Pemaaf akan memberi kesan kepada hati kita kerana sifat pemaaf akan dapat menteramkan hati dan jiwa kita daripada perasaan dendam dan benci serta membebaskan kita daripada dibelenggu perasaan marah. Akhirnya, dapatlah kita hidup dengan hati dan jiwa yang tenang di samping tubuh badan yang sihat.

Sesungguhnya, banyak lagi cara hidup sihat yang menjadi amalan Rasulullah SAW yang boleh kita amalkan dan ini adalah sebahagian daripadanya. Diharapkan, marilah kita sama-sama mencontohi dan meneladani segala amalan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kerana ini adalah sebahagian daripada sunnah baginda. Dan orang yang mengamalkan sunnah baginda sudah pastinyalah akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang menghidupkan satu sunnah dari sunnah-sunnahku, kemudian diamalkan oleh manusia, maka dia akan mendapatkan (pahala) seperti pahala orang-orang yang mengamalkannya, dengan tidak mengurangi pahala mereka sedikit pun".

Wallahua'lam..


Wednesday, June 15, 2011

Blair baca al-Quran tiap hari...

Terbaca artikel ni kat Harian Metro (Selasa, 14hb Jun) dan rasa cam patut di share di blog aku ni..
Kalau seorang bukan Islam seperti Blair ni boleh baca dan rujuk al-Quran setiap hari apatah lagi lah kita yang dah memang lahir-lahirnya Islam ni, sepatutnya mencontohi dia dengan membaca dan mengamalkan apa yang diajar didalam al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan kita..
Blair ni bukan sahaja baca malah memahami setiap isi kandungan al-Quran tu bagi memastikan yang dirinya sentiasa celik agama. Selain tu, menurut Blair jugak dia baca al-Quran setiap hari adalah untuk memahami sesetengah perkara yang berlaku di dunia.

Nah!! bukankah ini bukti yang menunjukkan yang al-Quran tu adalah panduan yang lengkap merangkumi setiap aspek kehidupan dan kandungannya sentiasa relevan dari dulu sehingga sekarang. Kalau si Blair yang bukan Islam ni boleh jadikan al-Quran sebagai panduan kehidupan dia, takkan kita yang mengaku Islam ni nak menolak segala hukum-hakam yang dah memang ditetapkan oleh Allah SWT dalam al-Quran.

Justeru, saya menyeru kepada diri saya dan diri kalian juga supaya marilah sama-sama kita menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan kita dan marilah juga kita sama-sama mendoakan supaya si Blair ni dibukakan pintu hatinya untuk Islam kerana Blair sendiri pernah memuji Islam sebagai agama yang indah dan Nabi Muhammad sebagai tokoh yang membawa kekuatan sangat bertamadun. Cuma mungkin hidayah Allah belum sampai kepadanya lagi. Jadi marilah kita berdoa semoga akan bertambahlah lagi lebih ramai umat Nabi Muhammad SAW di atas muka bumi ini.. Wallahua'lam.


Thursday, May 26, 2011

DISEBALIK KEJAYAAN SEORANG LELAKI

Pujangga pernah mengatakan: Disebalik kejayaan seorang LELAKI, pasti berdiri dibelakangnya seorang WANITA. Dan bagi aku, WANITA yang berdiri teguh disebalik kejayaan aku pada hari ini adalah EMAK aku. Dan di sini, dikesempatan ini, aku ingin dedikasikan rasa terima kasihku pada EMAK di atas kejayaan aku dalam peperiksaan baru-baru ini.

Disebalik kejayaan aku memperoleh keputusan yang baik dalam pelajaranku baru-baru ini, aku yakin dan percaya bahawa iamya datang daripada kekuatan doa seorang EMAK. Kata-kata EMAK adalah suatu doa. Dan doa EMAK adalah doa yang paling mustajab dan akan dimakbulkan oleh Allah S.W.T. tanpa hijab. Justeru itu, aku berani menyatakan bahawa disebalik kejayaan aku hari ini, wanita yang berdiri teguh dibelakangku adalah EMAK aku.

Bukan untuk menidakkan keupayaan seorang isteri, tetapi, selagi EMAK masih hidup, doa EMAK adalah yang paling mustajab bagi aku. Ini kerana, seorang EMAK tidak akan berhenti untuk mendoakan kejayaan anak-anaknya. Doa EMAK lah yang sering mengiringi aku setiap kali berjuang di dewan peperiksaan. EMAK lah yang sanggup bangun solat malam untuk mendoakan kesenangan, kejayaan dan kesejahteraan anak-anaknya. Dan aku juga pasti, disebalik solat sunat Dhuha yang dilakukannya, pasti didalamnya tetap ada terselit doa yang diutus buat anak-anaknya.

Pernah suatu ketika, anak adik aku yang baru lahir dimasukkan ke hospital kerana demam kuning. Adik aku pulak dah tak keruan sebab itu adalah pengalaman pertamanya melahirkan anak dan berdepan dengan situasi itu. Dan aku lihat, EMAK lah orang yang paling gigih mengerjakan qiamullail dan berdoa panjang untuk kedua beranak itu. Justeru, bukti apa lagi yang perlu aku tunjukkan untuk menidakkan kekuatan doa seorang EMAK??

Dan kepada kaum Adam sekalian, aku ingin berpesan, keberkatan hidup kita adalah terletak di tangan ibu. Walaupun kita sudah mendirikan rumah tangga, pastikan ibu yang menjadi keutamaan. Jangan sesekali melebihkan isteri daripada ibu. Setitis air mata yang gugur disebabkan oleh pelakuan kita yang menyinggung perasaannya, mungkin boleh menjadi minyak yang menyalakan murka Allah yang sarat dengan azab derita buat kita. Na'uzubillahi minzalik.

Akhir sekali, sekali lagi, aku ingin dedikasikan kejayaan aku dalam peperiksaan baru-baru ini dan berjaya menamatkan diploma aku buat EMAK yang sentiasa berdiri teguh di belakangku bersama doa-doanya yang tak putus-putus buat aku dan adik beradik yang lain. Aku tak dapat bayangkan jika suatu hari EMAK pergi.. akan tiadalah lagi doa-doa tulus dan kudus EMAK untuk aku dan anak-anaknya yang lain. Oleh itu ya Allah, Kau panjangkanlah umur EMAK ku, Kau kasihilah ia sebagaimana ia telah mengasihi aku daripada aku kecil hingga aku dewasa. Kau berkatilah EMAK ku ya Allah. Kau lingkungkanlah ia di dalam lingkungan rahmat dan kasih sayangmu.. Amiin.. Amiin.. ya Rabbal 'alamin.

"Terima kasih EMAK.."




Saturday, May 21, 2011

AKITIVITI SEMASA

Dua minggu yang sangat sibuk hinggat tiada masa untuk aku mengupdate sebarang entri di blog ini..
Bermula dengan aktiviti mengecat ofis dan terakhir semalam perhimpunan staf dan pensyarah KMM serta mesyuarat AJK Data sempena pendaftaran pelajar baru sesi 2011/2012 pada 23hb Mei nanti. Maka, benarlah sabda Rasulullah s.a.w. yang menyuruh kita merebut lima perkara sebelum datangnya lima perkara iaitu termasuk antaranya untuk merebut peluang masa lapang sebelum datangnya masa sibuk. Bila dah sibuk banyak perkara yang tak dapat dilakukan.


Secara ringkasnya, selama dua minggu ini, memang jadual para pekerja di sini sangatlah padat setelah semua pelajar menamatkan sesi pembelajaran mereka bagi sesi 2010/2011. Masing-masing sibuk melakukan tugas-tugas hakiki dan juga tugas-tugas yang dikategorikan sebagai "tugas-tugas yang diarahkan dari masa ke semasa" iaitu termasuklah tugas mengecat ofis masing-masing.. Bajet untuk beli cat memang ada, tapi bajet untuk upah orang mengecat takde. Jadi, terpaksalah kami lakukan sendiri...




Selama kurang lebih seminggu jugaklah kitaorang mengecat ofis kitaorang tu. Bermula pada hari selasa 10hb, dan berakhir pada hari rabu 18hb. Aku rasa, kalau kat luar, mungkin pengecat-pengecat ni akan di bayar enam ke tujuh puluh ringgit satu hari. Tapi kami.. hanya dapat bajet untuk makan tengahari sahaja.. itupun pada hari-hari terakhir dah takde bajet. Terpaksa guna duit ofis. Errmm.. dah nasib badan!!


Pastu, kami disibukkan dengan kursus dan team builiding; perhimpunan bulanan yang diadakan dalam seminggu sampai dua, tiga kali; serta mesyuarat jawatankuasa pendaftaran pelajar baharu. Dan sudah pastilah dengan jadual yang agak padat tu, tugas-tugas hakiki aku pun tertangguh. Semalam bos dah tanya bila nak tukar artikel baru kat partition depan library tu? Kalau tak kerana "kerja-kerja yang diarahkan dari masa ke semasa" ni, dah lama kerja aku tu siap dengan jayanya.. huhhuu. Apapun, itulah sebahagian daripada rencah alam pekerjaan yang aku dan mungkin juga kalian pernah, telah dan sedang hadapi. Sebagai pekerja, terpaksalah kita akur dengan terma "SAYA YANG MENURUT PERINTAH".


Hari Isnin ni pasti akan jadi lebih sibuk kerana pelajar-pelajar baharu sesi 2011/2012 akan mendaftar di kolej matrikulasi ini. Dan tahun ini, pelajar-pelajar satu tahun dan dua tahun akan mendaftar serentak. Harap-harap attitude para pelajar tersebut akan melambang dan mencerminkan yang mereka adalah pelajar-pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga sahsiah diri mereka juga turut cemerlang. Bukan apa, pada sesi-sesi yang lalu, akhlak kebanyakan pelajar ni, tak mencerminkan yang mereka tu pelajar yang bijak dan cemerlang dalam akademik. Semoga pada sesi kali ini, akhlak dan sahsiah para pelajarnya akan lebih baik daripada sesi-sesi sebelum ini.. amiin.


Oh ya.. khabarnya, minggu hadapan, result peperiksaan uitm akan diumumkan.. berdebar tuu.. harap-harap semuanya OK nanti.





Wednesday, May 4, 2011

TAMAT SUDAHHH..!!

Beberapa bulan dahulu...

Alhamdulillah
Kini..
Secara tak rasminya tamatlah perjuangan aku untuk semester ini
Dan MUNGKIN juga untuk keseluruhan semester
Kenapa mungkin?
Sebab..
Ia bergantung kepada result yang bakal keluar nanti

Jika diizinkan Tuhan dan result pun OK, boleh lah grad tahun ni..
Kalau tak..
Mungkin Dia mempunyai perancangan yang lebih baik untuk aku..
So, redha dan pasrah je laa..

Aku telah berusaha.. (Walaupun usaha aku tu taklah setinggi mana)
Dan kini tiba masanya aku menyerahkan segala-galanya kepada Allah dengan bertawakkal kepada-Nya
Semoga result yang bakal keluar nanti tidak akan mengecewakan aku dan jugak kawan-kawan aku
Semoga usaha kami selama beberapa tahun ini diberkati-Nya
Amiin.

p/s: 
Maka dengan ini, aku isytiharkan yang 
AKU TELAH KEMBALI!!! 

Rajin-rajinlah singgah sini yer!!