InsyaAllah, mulai hari ini, aku akan menyelitkan kisah-kisah teladan (yang aku ambil daripada pelbagai sumber e.g: surat khabar, majalah, buku, dll) di blog ini untuk sama-sama kita ambil iktibar dan pengajaran daripada kisah tersebut. Selain itu, diharapkan kisah-kisah teladan ini juga mungkin boleh dijadikan pembakar semangat ataupun motivasi mahupun inspirasi dalam menjalani kehidupan saya mahupun para pembaca sekalian.
Baiklah, hari ini aku akan berkongsi kisah dan teladan mengenai KATA-KATA KEHIDUPAN.
(Sumber: Utusan Melayu / 8 Apr. 2013)
KISAH
Sekumpulan katak sedang melompat-lompat riang di dalam hutan. Ketika asyik melompat-lompat itu, dua daripada katak tersebut terjatuh ke dalam sebuah lubang yang dalam.
Semua katak-katak lain mengelilingi lubang tersebut kalau-kalau mereka boleh membantu kedua-dua katak itu naik semula ke atas. Tetapi apabila mereka melihat ke dalam lubang itu, mereka mengeluh kerana lubang itu sangat dalam.
Mereka melaung-laung kepada katak yang terperangkap di dalam lubang itu memberitahu bahawa kedua-dua katak itu tidak ada harapan untuk naik semula dan bersedialah untuk mati di dalam lubang itu.
"Lubang itu sangat dalam, sukar untuk kamu naik. Lebih baik kamu berserah kepada takdir dan bersedia untuk mati", laung katak-katak yang berada di atas tanpa mempedulikan perasaan katak yang terperangkap di dalam lubang itu.
Bagaimanapun, kedua-dua katak di dalam lubang itu tidak menghiraukan kata-kata kawan mereka, sebaliknya terus berusaha sedaya upaya mereka untuk melompat naik ke atas tebing.
Dalam masa yang sama, kawan-kawan mereka yang berada di atas terus melemahkan semangat mereka dengan meminta berhenti berusaha untuk naik kerana hampir mustahil mereka dapat berbuat demikian.
Akhirnya, salah seekor katak di dalam lubang itu terpengaruh dengan kata-kata kawan-kawannya yang berada di atas dan meneyerah kalah. Dia terjatuh semula ke dalam lubang dan mati.
Sedangkan seekor lagi katak di dalam lubang itu tetap dengan usahanya untuk melompat keluar dari lubang tersebut. Dia berusaha dengan segala kudratnya yang masih tinggal.
Sekali lagi, kawan-kawannya di atas melaung-laung memintanya supaya berserah kepada takdir dan berhenti berusaha serta redha dengan apa yang akan terjadi kepadanya.
Namun katak yang seekor ini tidak mempedulikan kata-kata kawan-kawannya itu, sebaliknya terus berusaha gigih melompat naik ke atas dan akhirnya usahanya itu berhasil. Katak itu berjaya melompat ke atas.
Ketika katak itu sampai di atas, kawan-kawannya bertanya, "apakah kau tidak mendengar laungan kami?" lalu katak itu dengan bahasa isyarat memberitahu bahawa dia pekak.
Rupa-rupanya semasa berada di dalam lubang itu, si katak pekak ini menganggap laungan kawan-kawannya supaya dia menyerah kalah adalah sorakan semangat supaya dia terus berusaha.
TELADAN
Kekuatan hidup dan mati ada di lidah. Kekuatan kata-kata yang diberikan kepada seseorang yang sedang "jatuh" dapat membuatkan mereka bangkit dan membantu mereka dalam menjalani kehidupan.
Sebaliknya, kata-kata buruk terhadap seseorang yang sedang "jatuh" dapat membunuh mereka. Hati-hatilah dengan apa yang akan diucapkan. Kata-kata kehidupan dapat membuat kita berfikir dan melangkah juah dari apa yang kita andaikan.
No comments:
Post a Comment