Disebalik kejayaan aku memperoleh keputusan yang baik dalam pelajaranku baru-baru ini, aku yakin dan percaya bahawa iamya datang daripada kekuatan doa seorang EMAK. Kata-kata EMAK adalah suatu doa. Dan doa EMAK adalah doa yang paling mustajab dan akan dimakbulkan oleh Allah S.W.T. tanpa hijab. Justeru itu, aku berani menyatakan bahawa disebalik kejayaan aku hari ini, wanita yang berdiri teguh dibelakangku adalah EMAK aku.
Bukan untuk menidakkan keupayaan seorang isteri, tetapi, selagi EMAK masih hidup, doa EMAK adalah yang paling mustajab bagi aku. Ini kerana, seorang EMAK tidak akan berhenti untuk mendoakan kejayaan anak-anaknya. Doa EMAK lah yang sering mengiringi aku setiap kali berjuang di dewan peperiksaan. EMAK lah yang sanggup bangun solat malam untuk mendoakan kesenangan, kejayaan dan kesejahteraan anak-anaknya. Dan aku juga pasti, disebalik solat sunat Dhuha yang dilakukannya, pasti didalamnya tetap ada terselit doa yang diutus buat anak-anaknya.
Pernah suatu ketika, anak adik aku yang baru lahir dimasukkan ke hospital kerana demam kuning. Adik aku pulak dah tak keruan sebab itu adalah pengalaman pertamanya melahirkan anak dan berdepan dengan situasi itu. Dan aku lihat, EMAK lah orang yang paling gigih mengerjakan qiamullail dan berdoa panjang untuk kedua beranak itu. Justeru, bukti apa lagi yang perlu aku tunjukkan untuk menidakkan kekuatan doa seorang EMAK??
Dan kepada kaum Adam sekalian, aku ingin berpesan, keberkatan hidup kita adalah terletak di tangan ibu. Walaupun kita sudah mendirikan rumah tangga, pastikan ibu yang menjadi keutamaan. Jangan sesekali melebihkan isteri daripada ibu. Setitis air mata yang gugur disebabkan oleh pelakuan kita yang menyinggung perasaannya, mungkin boleh menjadi minyak yang menyalakan murka Allah yang sarat dengan azab derita buat kita. Na'uzubillahi minzalik.
Akhir sekali, sekali lagi, aku ingin dedikasikan kejayaan aku dalam peperiksaan baru-baru ini dan berjaya menamatkan diploma aku buat EMAK yang sentiasa berdiri teguh di belakangku bersama doa-doanya yang tak putus-putus buat aku dan adik beradik yang lain. Aku tak dapat bayangkan jika suatu hari EMAK pergi.. akan tiadalah lagi doa-doa tulus dan kudus EMAK untuk aku dan anak-anaknya yang lain. Oleh itu ya Allah, Kau panjangkanlah umur EMAK ku, Kau kasihilah ia sebagaimana ia telah mengasihi aku daripada aku kecil hingga aku dewasa. Kau berkatilah EMAK ku ya Allah. Kau lingkungkanlah ia di dalam lingkungan rahmat dan kasih sayangmu.. Amiin.. Amiin.. ya Rabbal 'alamin.
"Terima kasih EMAK.." |