Bagi aku yang tidak bekerja di perantauan, balik kampung pada musim perayaan bukanlah acara wajib kerana kampung aku bukanlah mengambil masa setengah hari atau satu hari perjalanan untuk sampai, sebaliknya dalam masa 45 minit aku telahpun terpacul di rumah mak aku. Jadi, tiada masalah untuk aku bekerja pada sehari atau menjelang hari perayaan sekalipun kerana aku boleh pulang ke kampung setelah selesai waktu pejabat.
Jadi, dikesempatan ini, aku ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR & BATIN kepada para pembaca sekalian (jikalau ada). Semoga perjalanan anda pulang ke desa masing-masing akan selamat sampai ke destinasi yang di tujui. Pandulah kereta dengan berhati-hati, ingatlah insan-insan tersayang. Semoga Syawal yang bakal menjelang tiba ini akan membawa seribu kenikmatan dan kesyukuran kepada aku dan kalian hendaknya. Semoga kita akan diberikan peluang oleh Allah SWT untuk bertemu dengan Ramadhan pada tahun hadapan.
Akhir sekali, aku sekali lagi ingin mengambil peluang ini untuk memohon maaf di atas segala catatan aku yang mungkin ada mengguriskan hati mana-mana pihak samaada secara sedar mahupun tidak disedari. Sesungguhnya kita ini adalah hamba-Nya yang tidak pernah lepas daripada melakukan dosa dan kesalahan. Justeru, sempena hari baik, bulan baik ini, marilah kita sama-sama memohon kemaafan dan bagi aku sendiri, aku bersedia untuk memaafkan mereka-mereka yang pernah membuat salah kepada aku. Semoga Syawal kali ini akan mengeratkan tali silaturrahim antara kita.
Wassalam..


