Pages

Wednesday, December 14, 2016

Ilmu lebih manfaat jika dikongsi

Assalamualaikum semua.

Lama tak bersiaran.. almaklumlah. Mood bercuti di hujung tahun. Nak-nak pulak musim hujan.. tu yang ke laut jadinya.. haha. ---> Alasan semata-mata

Ok.. arini saya nak berkongsi sedikit kisah yang boleh dijadikan tauladan untuk kita. Dalam slot kisah dan tauladan harini saya nak berkongsi kisah mengenai: ilmu lebih bermanfaat jika dikongsi. Saya rasa.. korang mesti pernah alami peristiwa di mana ada dikalangan kawan korang yang kadang-kadang agak kedekut ilmu.

Contoh: korang tak faham macam mana nak selesaikan masalah matematik atau matapelajarn subjek lain. Pastu korang tanyalah kawan korang. Pastu dia pun jawab macam acuh tak acuh jer.. ajar pun macam tak ikhlas. Pernah tak??

Atau dalam situasi semasa, mintak share resepi kat FB. Member punyalah share gambar masakan atau kek-kek menarik. Pastu bila nak mintak resepi sikit punya kemut.. huhhuu. Siap sindir lagi.. pergilah belajar sendiri. I pergi kelas bayar mahal-mahal tau.. senang-senang nak mintak resepi!! haa korang..??!! pernah tak alami situasi camni?

So, atas sebab itu, arini saya nak berkongsilah sedikit kisah khasnya untuk mereka yang kadang-kadang berkira nak berkongsi ilmu. Ingat ya saudara/ri.. ilmu tu daripada Allah.. kalau kita suka berkongsi ilmu, in shaa Allah, Allah akan tambah lagi ilmu kita. Bak kata pepatah.. takkan hilang bisa ular yang menyusur akal. Jadilah kita seperti padi.. makin berisi makin menunduk. Eh..!! masih tak cerita lagi ke? hehe.. oraitt.. jom kita baca kisah bawah ni.

Ilmu lebih manfaat jika dikongsi

Abu dan Baba ialah dua orang pemancing hebat yang sering mendapat banyak ikan setiap kali memancing. Pernah satu ketika, ketika kedua-duanya sedang memancing, datang 10 pemancing lain memancing berdekatan mereka. Seperti biasa, mereka mendapat ikan yang cukup banyak, sedangkan 10 pemancing tadi hanya melihat dengan cemburu dan mampu menggigit jari sahaja kerana tidak mendapat seekor ikan pun.

Kesemua 10 pemancing itu kemudiannya ingin belajar daripada mereka rahsia dan teknik memancing yang baik. Tetapi abu nampak seperti kurang senang dengan permintaan pemancing-pemancing itu. Sebaliknya Baba menunjukkan sikap berbeza. Dia bersedia menjelaskan teknik dan rahsia memancing kepada 10 pemancing tersebut dengan satu syarat.

Kesemua pemancing itu mesti memberikannya seekor ikan jika mereka berjaya mendapat 10 ekor ikan. Tetapi jika kurang daripada 10 ekor ikan, mereka tidak perlu memberinya apa-apa. Setelah syarat itu dipersetujui, Baba mengajar mereka teknik dan rahsia terbaik memancing. Tidak sampai 2 jam, kebanyakan pemancing-pemancing itu mendapat sekurang-kurangnya sebakul ikan. 

Secara tidak langsung, Baba juga mendapat keuntungan daripada kejayaan pemancing-pemancing itu menaikkan banyak ikan. Selain mendapat 'bonus' ikan daripada pemancing yang dibimbingnya, Baba juga mendapat 10 orang kawan baru. Sementara rakannya Abu yang agak kedekut ilmu, tidak mendapat keuntungan sebesar keuntungan Baba yang pemurah dan tidak lokek ilmu untuk dikongsi dengan orang lain.

Moral:

Kisah di atas menunjukkan bahawa ilmu pengetahuan akan lebih bermanfaat jika diamalkan dan dikongsi bersama. Tindakan itu selain menjadikan kita lebih menguasai ilmu, juga mendapat keuntungan daripada segi kewangan, hubungan sosial dan lain-lain.

"Jika anda membantu lebih ramai orang untuk mencapai impiannya, impian anda juga akan tercapai." kata Zig Ziglar, seorang pakar motivasi terkenal Amerika Syarikat. 

Bentuk bantuan tidak semestinya wang ringgit, ilmu dan sebagainya. Tetapi juga dalam bentuk kasih sayang, perihatin, kejujuran, motivasi, bimbingan dan sebagainya yang termampu diberikan. Kebiasaan berkongsi seperti itu selain memudahkan kita memperluas jalinan hubungan sosial, juga dapat membangunkan keyakinan diri kerana merasa kehidupan kita lebih bererti.

Wallahu a'lam.

Wednesday, November 23, 2016

Tips Persediaan Percutian

Assalamualaikum.
Salam blogging

Hari ni saya nak berkongsi mengenai tips persediaan percutian dengan anda. Maklumlah.. cuti sekolah bakal menjelang beberapa hari lagi. Pasti ramai ibu bapa yang telah merancang untuk pergi bercuti bersama keluarga di musim cuti sekolah nanti.

Sebelum anda berangkat ke destinasi percutian idaman, pastikan anda dalam keadaan sihat. Bagaimanapun, anda tidak tahu apa yang bakal terjadi pada masa akan datang kerana tiada siapa boleh menduga ketika dalam perjalanan anda berasa sakit kepala, bersin mahupun demam. Apatah lagi, perubahan suhu tempat yang ditujui adakalanya menyebabkan kesihatan anda terganggu.

Kata orang, mencegah lebih baik daripada mengubati. Justeru, sebelum senario buruk  itu terjadi, mengubati adalah satu-satunya pilihan terbaik.Atas sebab itu, saya sertakan beberapa tips sebagai persediaan percutian anda sekiranya ditakdirkan anda jatuh sakit ketika melancong.

Tips Percutian

1. Maklumkan keadaan anda kepada pramugari

Sekiranya anda bercuti dengan menaiki kapal terbang, jika anda berasa sejuk dalam penerbangan ketika ke destinasi percutian, jangan ragu-ragu untuk memberitahu kepada pramugari yang anda tidak sedap badan. Ini akan dapat membantu anda kerana pramugari akan memberikan anda selimut, bantal atau ubat supaya anda berasa lebih selesa.

2. Banyakkan minum air kosong

Anda dinasihatkan untuk meminum air kosong satu gelas setiap 15 minit. Ini adalah merupakan satu cara yang baik kerana tubuh kita memerlukan air yang banyak. Apabila air kurang dalam badan, anda mudah diserang penyakit terutama selesama, batuk dan demam.

3. Rehat yang cukup

Berehat selama beberapa jam ketika anda berasa kurang sihat. Jangan memaksa diri kerana percutian anda akan menjadi sia-sia jika badan anda berasa sakit. Keadaan juga mungkin akan menjadi lebih teruk jika anda terus berdegil untuk meneruskan percutian kerana anda mungkin boleh pengsan ketika bersiar-siar atau ketika dalam perjalanan.

4. Tidur yang cukup

Tidur adalah sangat baik untuk membantu mengembalikan kecergasan dan kesihatan tubuh anda. Hal ini kerana, selepas bangun daripada tidur yang cukup, anda akan berasa lebih segar dan sihat. Sekiranya anda diserang selesema dan berasa tidak tahan dengan gejala yang dialami, ambil ubat selesema atau demam terlebih dahulu sebelum tidur.

5. Beritahu pihak hotel

Pastikan pihak hotel tempat anda menginap tahu tentang keadaan kesihatan anda yang sedang sakit. Ini kerana, pihak hotel boleh membantu anda daripada pelbagai aspek terutama membawa anda ke hospital atau klinik jika keadaan anda semakin teruk.

6. Sediakan ubat-ubatan

Ketika melancong, bawalah bersama anda ubat-ubatan yang boleh mengubati kesakitan yang sering menyerang anda ketika melancong seperti ubat selesema, batuk, demam, ubat antimabuk dan ubat-ubatan yang bersesuaian. Pastikan juga anda membawa baju panas atau jaket walaupun anda bercuti ke tempat yang tidak terlalu sejuk. Ini adalah satu langkah berjaga-jaga terutama apabila anda mengalami selesema. Biasanya, sekiranya anda mengalami selesema, badan akan menggigil walaupun tempat yang dikunjungi itu mempunyai suhu yang panas.

7. Berjumpa dengan doktor

Apabila semua tips sudah dicuba tetapi keadaan kesihatan anda masih juga sama, anda hendaklah berjumpa segera dengan doktor. Dengan pemeriksaan yang dilakukan oleh doktor, anda pasti mendapat ubat yang sesuai dan terbaik untuk sakit yang anda alami. Selain itu, dengan cara ini anda dapat mencegah kesakitan yang anda alami daripada berlarutan yang akhirnya akan merosakkan keseluruhan percutian idaman anda.

8. Kebaikan insurans perjalanan

Insurans perjalanan biasanya sering diabaikan kerana ramai yang beranggapan ianya tidak penting. Namun, apabila sakit ketika bercuti, ketika itulah perkhidmatan yang ditawarkan oleh insurans sangat diperlukan. Dengan adanya insurans, segala kos perubatan anda akan ditanggung oleh syarikat insurans dan anda tidak perlu mengeluarkan wang.

*******************************

Demikianlah, beberapa tips persediaan percutian untuk anda terutamanya ketika anda berasa tidak sihat ketika melancong dan bercuti. Mungkin anda boleh gunakan tips-tips di atas untuk menghadapi saat-saat yang kurang menyenangkan ketika anda pergi bercuti. Semoga perkongsian kali ini dapat memberi sedikit manfaat kepada para pembaca sekalian.

Assalamualaikum dan jumpa lagi di entri yang lain pula.. XoXo


Tuesday, November 8, 2016

Pandangan Positif Terhadap Kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Bagaimana dengan hari anda pada hari ini? Diharapkan hari-hari yang anda lalui dipenuhi dengan kecerian dan kesejahteraan hendaknya.

Sebagai manusia, kita tidak akan terlepas daripada menghadapi ujian dan masalah dalam melalui kehidupan ini. Ada yang diuji dengan masalah kesihatan.. masalah keluarga.. masalah di tempat kerja dan sebagainya. Namun begitu, kita tetap perlu menempuhi kehidupan ini walau sebesar manapun ujian yang sedang kita hadapi. Apa yang penting adalah bagaimana kita menangani ujian tersebut.

Ingatlah.. ujian itu datangnya daripada Allah.. Mungkin kita terlalu leka dengan kehidupan dunia sehingga mengabaikan suruhan-Nya. Justeru, Allah bagi kita sedikit ujian supaya kita kembali dan mendekatkan diri kepada-Nya... Meminta dan merayu hanya pada-Nya. Bagi saya.. ujian ini juga suatu nikmat.. dan kita perlu bersyukur kerana dengan ujian kita mula mencari Tuhan. Kita mula merayu, mengadu dan meminta kepada Allah yang mana mungkin sebelum ini sujud dan doa kita hanya sekadar melepaskan tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya. Tapi dengan ujian.. kita mula mencari-Nya. Kita meminta dan merayu hanya pada-Nya. Allah rindu nak dengar kita meminta, merintih dan merayu pada Dia. Atas sebab itulah Dia bagi ujian pada kita. Alhamdulillah, bersyukurlah kerana Allah masih ingat pada kita dengan mengirimkan ujian-Nya, walaupun kita jarang-jarang ingat pada Dia.

Jadi, pada hari ini, saya ingin berkongsi sebuah kisah dan teladan mengenai Pandangan positif terhadap kehidupan. Semoga dengan kisah ini, dapat memberi sedikit motivasi kepada mereka yang sedang diuji dengan masalah. Ingatlah.. Allah sentiasa bersama dengan orang yang benar dan sabar.

Pandangan Positif Terhadap Kehidupan

Ada seorang lelaki tua yang hidup sederhana di sebuah kampung. Pada suatu hari dia melihat pokok betik di hadapan rumahnya telah berbuah dua biji dan sedang masak menguning. Buah-buah betik itu sudah sedia untuk dipetik. Lelaki tua itu bercadang untuk memetik buah itu keesokan harinya. Bagaimananpun, pagi esoknya dia mendapati sebiji daripada buah betik itu hilang dicuri orang.

Lelaki tua itu begitu sedih melihat keadaan itu sehingga menimbulkan rasa hairan kepada isterinya.

"Takkanlah hanya kerana sebiji betik hilang, abang bersedih sedemikian rupa?" ujar isterinya.

"Bukan itu yang abang sedihkan," jawab lelaki tua itu.

"Abang sedang memikirkan bagaimana sukarnya pencuri untuk mengambil buah betik ketika itu. Dia perlu datang senyap-senyap di tengah malam agar tidak diketahui orang"

"Itu belum lagi usaha untuk memanjatnya. Pokok betik itu tinggi dan buahnya jauh di atas. Tentu pencuri itu terpaksa bekerja keras untuk memetik buah betik itu," ujarnya.

Sehubungan itu, kata lelaki tua berkenaan, dia akan meletakkan tangga di bawah pokok betik itu supaya apabila pencuri itu datang semula malam nanti, dia tidak perlu bersusah payah lagi untuk mengambil baki sebiji lagi buah betik itu.

Bagaimanapun, ketika bangun tidur pagi esoknya, lelaki tua itu mendapati buah betik yang berbaki sebiji itu masih ada dan tangga pada batang pokok betik itu juga seperti tidak terusik. Lelaki itu cuba bersabar dan berharap pencuri tersebut akan datang lagi pada sebelah malam nanti. Tetapi apabila menjelang pagi, dia mendapati buah betik itu masih ada di tempatnya.

Pada sebelah petangnya lelaki tua itu dikunjungi seorang tetamu yang membawa dua biji buah betik besar ditangannya. Dia belum pernah melihat tetamu itu sebelum ini. Setelah berbual-bual, tetamu itu dengan kesal bahawa dialah yang mencuri buah betik lelaki itu.

"Sebenarnya" kata tetamu itu,

"Pada malam berikutnya, saya ingin mencuri baki sebiji lagi buah betik itu. Tetapi apabila saya menemukan tangga di pokok betik itu, saya sedar dan insaf. Sejak itu saya bertekad tidak akan mencuri lagi.

"Oleh itu, saya pulangkan betik tersebut dan sebagai menebus kesalahan, saya hadiahkan sebiji lagi buah betik yang saya beli di pasar untuk tuan," katanya.

RENUNGAN:

Hikmah yang boleh diambil daripada kisah tersebut ialah tentang keikhlasan, kesabaran, kebajikan dan pandangan positif terhadap kehidupan.

Mampukah kita bersikap positif ketika kita kehilangan sesuatu yang amat disayangi. Mampukah kita bersikap ikhlas dengan mencari sisi baiknya dan melupakan sakitnya sesuatu 'musibah'.

"Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, tidak berterima kasih kepada Tuhannya dan sesungguhnya manusia itu menyaksikan (sendiri) keingkarannya dan sesungguhnya dia sangat bakhil kerana cintanya kepada hartanya."
 [Al 'Aadiyaat 6-8]

Tuesday, November 1, 2016

KHASIAT INAI: RAWATAN CARA RASULULLAH S.A.W

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum saya ucapkan kepada para pembaca yang dikasihi sekalian.
Bagaimana dengan hari anda? Diharapkan semoga hari anda dipenuhi dengan kebaikan dan keceriaan.

Baiklah.. hari ini saya nak kongsikan dengan anda mengenai khasiat inai: rawatan cara Rasulullah S.A.W. Sebenarnya banyak khasiat inai yang saya tak tahu. Selama ni saya ingat inai tu hanya untuk dipakai dijari dan mewarna rambut. Tapi bila baca artikel yang dipetik daripada buku Rasulullah Seorang Doktor terbitan Pustaka Ibnu Katsir, barulah saya tahu banyak rupanya khasiat inai ni.. dan Rasulullah S.A.W sendiri juga membuat rawatan menggunakan inai.
Orang kata.. benda yang baik kena dikongsi!! Jadi, hari ni saya kongsikan khasiat inai: rawatan cara Rasulullah S.A.W kepada anda. Semoga bermanfaat hendaknya.. In Shaa Allah.

Pembantu Rasulullah S.A.W. Salma berkata, Nabi Muhammad S.A.W bersabda kepadanya: "Jika ada sesiapa mengadu mengalami sakit kepala, maka hendaklah orang itu berbekam untuk mengurangkan sakit."

Jika ada orang mengeluh sakit kaki, Rasulullah S.A.W menyuruh orang itu membalutnya dengan 'hina' iaitu inai. Ketika Rasulullah S.A.W terkena jangkitan kuman akibat luka, Baginda menyuruh Salma membalut luka itu dengan inai.

Sakit kepala yang hanya dirasai di bahagian kanan atau kiri sahaja disebut sebagai 'syagigah' (migrain/sakit kepala sebelah) dan jika sakit itu dirasai di seluruh kepala, ia dikenali sebagai 'kutdzah' (sakit kepala biasa).
Inai mujarab untuk mengatasi suhu panas yang terperangkap dalam kepala. Menyapu inai pada kening dengan izin Allah SWT sakit kepala akan reda kerana inai mengandungi zat astringent yang mampu menarik panas pada organ tubuh.

Inai dikatakan mempunyai sifat tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Ia juga mempunyai zat larut yang berguna untuk mengubati luka akibat terbakar. Bagi mereka yang mengalami bibir pecah-pecah atau merekah, mereka boleh mencuba menggiggit inai untuk mengubatinya.

Selain itu, bunga inai dicampur dengan lilin yang dijernihkan dan minyak mawar, boleh mengubati penyakit rusuk. Jika seseorang mengalami cacar pada peringkat awal, inai boleh disapukan di bawah telapak kaki bagi mengelakkan mata diserang cacar.

Bunga inai disimpan dalam lipatan baju berbulu boleh membuatkan baju itu wangi dan mengelak daripada serangan penyengat. Selain itu, inai juga mampu memperkuat dan mencantikkan rambut. Inai turut boleh digunakan untuk mengubati bengkak dan bisul.

Wallahua'lam.

Thursday, October 27, 2016

DI MANA ADA KEMAHUAN, DI SITU ADA JALAN

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatulllahi wabarakatuh.

Lama dah tak bersiaran.. terasa janggal untuk menulis semula.Selalu saya jenguk je dan tak terasapun nak menaip kat sini. Tapi hari ni.. entah magic apa yang memaksa saya untuk mencatat sesuatu di sini.

Setahun lebih sudah saya meninggalkan dunia blogging ni.. nak ikut kan, saya ni pun bukanlah blogger tegar.. hehe. memang selalu je ditinggalkan blog ni sampai bersawang. Takpa lah.. asalkan masih bernyawa blog saya ni.. kira ok la tu

OK.. hari ni saya nak berkongsi sedikit kisah motivasi yang bertajuk.. 
"DI MANA ADA KEMAHUAN, DI SITU ADA JALAN"

Wahh..!! macam nak berpidato pulak.. hehe. Sebenarnya, artikel "DI MANA ADA KEMAHUAN, DI SITU ADA JALAN" ni saya simpan dah lama. Baru hari ni saya dapat kongsikan dengan anda.

Baiklah kisahnya begini..

"DI MANA ADA KEMAHUAN, DI SITU ADA JALAN"

Suatu masa dahulu, ada seorang raja bernama Bruch. Sudah enam kali baginda memimpin pasukan tenteranya menentang musuh, namun setiap kali bertempur, pasukannya tewas. Baginda terpaksa melarikan diri ke dalam hutan. Baginda sendiri terpaksa bersembunyi di sebuah pondok buruk di dalam hutan itu. Suatu hari ketika sedang tidur, hujan lebat melanda hutan itu. Air hujan mengalir dari atap pondok yang bocor dan menitis ke atas mukanya.

Raja ini terbangun dari tidurnya. Ketika itu dia segera terkenang nasib malangnya yang gagal dalam setiap pertempuran walaupun bala tenteranya telah mencuba sedaya upaya untuk mengalahkan musuh. Semakin baginda memikirkan hal ini, hatinya semakin pedih dan hampir putus asa. Baginda mendongak dan secara tiba-tiba terpandang seekor labah-labah sedang bekerja keras mengait sarangnya di atas kayu alang kepala tempat baginda tidur itu. 

Bruch memerhati dengan tekun gerak-geri labah-labah itu. Baginda menghitung sudah enam kali labah-labah itu cuba menyambung salah satu hujung 'benang' ke kayu yang berada di seberangnya. Walaupun labah-labah itu mencuba dengan sedaya upayanya, benang itu gagal disambung ke kayu berkenaan. Setiap kali benang itu cuba dikaitkan ke kayu tersebut, ia terputus.

"Kasihan sungguh makhluk kecil ini" kata Bruch. 

"Sepatutnya kamu menyerah sahaja!"

Baginda merasakan tidak ada harapan sedikitpun bagi labah-labah itu mengaitkan benang tersebut ke kayu berkenaan. Tetapi, di luar jangkaannya, walaupun sudah enam kali gagal dalam percubaannya mengaitkan hujung benang tersebut, labah-labah itu tidak pernah putus asa atau berhenti mencuba.

Dengan sisa-sisa tenaga yang ada, labah-labah itu mencuba lagi untuk kali ketujuh dan kali ini dia berjaya! Melihat keadaan itu, Bruch kagum dengan semangat labah-labah itu dan lupa kepada nasib dirinya. Baginda berdiri dan menarik nafas panjang. Lalu, dengan lantang berteriak, "Aku juga akan bertempur lagi untuk kali yang ketujuh!"

Bruch akhirnya benar-benar mendapat kembali semangatnya. Dia segera mengumpul dan melatih bala tenteranya yang masih ada. Tanpa membuang masa, baginda mengatur strategi dan menggempur lagi pertahanan musuh. Dengan segala daya upaya dan semangat kental serta perjuangan yang tidak pernah menyerah kalah, akhirnya baginda berjaya menewaskan pasukan musuh dan berjaya merampas kembali negaranya.

Moral:
Jangan mudah menyerah kepada keadaan. Apabila kita terus berusaha, tidak ada suatu perkara pun yang mustahil kita peroleh. DI MANA ADA KEMAHUAN, DI SITU ADA JALAN.

*********************************

So, saya harap kisah ini dapat memberi sedikit motivasi untuk dan saya dan para pembaca sekalian. Jangan pernah berputus asa.. Kalau kita inginkan sesuatu, berusahalah dengan bersungguh-sungguh dan sebagai seorang Islam, jangan lupa untuk meminta dan berdoa kepada Allah. Setelah kita berusaha, serahkanlah usaha kita tersebut dengan bertawakkal kepada-Nya. Jika Allah izinkan, in shaa Allah ianya pasti menjadi milik kita. In shaa Allah.

Wallahu a'lam