Pages

Saturday, February 12, 2011

SERUPA TAPI TAK SAMA...

Saya baharu sahaja usai menonton episod pertama PROGRAM BUAL BICARA SITI di saluran Astro Ria (104) sebentar tadi.. Maklumlah, kan namanya berhujung minggu. Ditambah pula saya hanya melepak di rumah dan tak ke mana-mana pada malam minggu ini.. Jadi, saya pun tak mahu melepaskan peluang untuk menonton rancangan bual bicara terbaru hasil buah tangan Astro ini.. Nak kata saya ni die hard fan Tok Ti tu takdelah, cuma saya ni minat kat kemerduan dan kesedapan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh beliau.. "."

Tapi, apa yang ingin saya catatkan di sini bukanlah tentang keseluruhan perjalanan program ini.. sebaliknya mengenai sedikit info (yang kebetulan sama dengan diri saya), yang saya baru ketahui (ketika saya menonton rancangan ini) ketika Siti menemubual tokoh negarawan ulung negara iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad. Malam ini barulah saya tahu yang Tun Dr. Mahathir ni rupanya tak makan ikan.. hehehe.. saya sangat teruja apabila mendengar info ini kerana saya juga tidak makan ikan.

Hairan bin Ajaib..!! Di sana sini sibuk orang mengatakan tentang khasiat memakan ikan walhal sebaliknya seorang negarawan ulung di negara kita tak makan ikan. Dan orang itu pulak, tak lain dan tak bukan ialah bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir!! Nah!! Itulah hakikat yang harus kita terima.. Dan lagi satu hakikat yang saya dan juga anda harus terima adalah walaupun saya tak makan ikan, tetapi saya bukanlah siapa-siapa.. huhhuuu. oleh itu, awaslah wahai peniaga-peniaga ikan di pasar dan di mana jua.. mungkin selepas ini orang akan berhenti daripada makan ikan dan dah tak mahu beli ikan-ikan anda dengan alasan, Tun Dr Mahathir tak makan ikan pun masih boleh jadi Perdana Menteri.. ngehehe.

Apapun, saya masih bersetuju yang memakan ikan itu tetap menjadi salah satu faktor dalam menjana minda yang cerdas. Tapi harus diingat, pokok pangkalnya untuk menjadi orang berjaya ianya bergantung kepada diri individu itu sendiri. Kemudian di tambah pula dengan didikan dan bimbingan daripada kedua orang tua selain pengaruh daripada orang sekeliling yang turut menjadi rangkuman faktor kepada kejayaan seseorang individu. 

Tak guna juga kalau seseorang itu dok asyik mentekedarah ikan banyak-banyak tapi lepas tu dia jadi samseng jalanan, merempit, hisap pit, dan melakukan pelbagai salah laku jenayah lagi... Jadi, itu adalah sangat tidak berbaloi kalau anda mengatakan yang dengan makan ikan, otak seseorang itu akan jadi cerdas, sihat, brilliance, genius or watever. Seperti yang saya katakan tadi, ianya hanya faktor sampingan sahaja.. Atau mungkin mereka juga boleh kita panggil genius kerana menggunakan otak mereka untuk mencuri, meragut, menunggang motosikal secara meniarap, memandu secara membabi buta, pecah rumah, merogol, membunuh, dsbgnya.. Oh ya.. itu semua memerlukan tahap ke'genius'an yang tinggi dan sebab itulah mereka suka makan ikan.. huhh!!

Sebenarnya, apa yang penting bagi saya untuk seseorang itu berjaya adalah mereka itu hendaklah sentiasa rajin berusaha, bersungguh-sungguh dalam pelajaran dan setiap perkara yang dilakukan, tekun, ikhlas, sabar serta mempunyai keazaman dan semangat yang tinggi untuk berjaya. Tak kiralah apa jua bentuk makanan yang kita makan, apa jua jenis minuman yang kita minum, setiap orang daripada kita mempunyai peluang untuk mencapai kejayaan. Dan tak kiralah apa jua bentuk kejayaan yang kita lakar di waktu ini atau di suatu masa nanti, apa yang diharapkan sebenarnya adalah semoga kita bukan sahaja memperoleh kejayaan di dunia, bahkan juga menjadi insan yang berjaya di akhirat kelak. Sesungguhnya kejayaan di akhirat itu adalah kejayaan yang paling manis buat orang-orang yang beriman.. wallahua'lam

SELAMAT BERHUJUNG MINGGU...

Alhamdulillah, saya masih lagi diberi kesempatan menulis di sini. Setelah berminggu meninggalkan ruang maya ini kosong tanpa sebarang catatan, saya kembali mengisi kekosongan entri bulan Februari yang belum terisi.

Hujung minggu dilalui pastinya seronok bagi muda mudi yang belum punya apa-apa komitmen. Sama seperti saya yang pernah melalui zaman remaja dengan menghabiskan masa berlibur di luar, melepak bersama kawan-kawan, menonton wayang di panggung Cathay dan sesekali 'berwindow shopping'.. Ya, saat itu memang indah dan seronok. Tiada masalah yang perlu difikir.. Tiada hutang yang perlu dilangsai.. Tiada hati yang perlu dijaga..

Hujung minggu juga saya manfaatkan untuk mengqada' kembali waktu tidur selama lima hari itu sehingga jam 12 tengahari.. Memang jimat waktu itu.. Jimat bil air untuk mandi pagi.. Jimat duit untuk beli sarapan (Emak pun jimat tenaga tak payah nak buat sarapan untuk saya)..Jimat petrol kerana motosikal saya juga boleh sama berehat mengqada' perjalanannya selama lima hari berturut-turut. Pendek kata, qada' tidur itu adalah satu langkah penjimatan yang sangat berkesan waktu itu.. Minyak rambut code 10 tak payah guna, perfume tak payah sembur, letrik tak payah guna untuk iron baju, dan macam-macam lagilah..

Tapi hari ini.. hujung minggu saya walaupun situasinya hampir sama seperti zaman remaja, tapi keseronokannya nyata berbeza.. Masa remaja, komitmennya hanya pada pelajaran sahaja.. Apabila memasuki alam pekerjaan dan berumahtangga, komitmen pun makin bertambah. Masih lagi boleh berseronok.. tapi, bayak masalah yang perlu difikir, ada hutan yang perlu dilangsaikan, dan yang paling penting.. ada hati dan perasaan yang perlu dijaga..




Jadi, hujung minggu saya hari ini masih tetap seronok biarpun terpaksa memerap di rumah menyiapkan assignment yang due date nya pada minggu hadapan, namun berada bersama keluarga dan orang-orang tersayang adalah momen yang paling indah dan seronok dalam hidup saya. Keseronokan menonton wayang, melepak bersama rakan, dan window shopping mungkin boleh dilakukan pada bila-bila masa.. tetapi berkumpul bersama keluarga tidak mungkin dapat diulang sekiranya mereka sudah tiada di dunia ini lagi..

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: "Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara: MUDA sebelum TUA, SIHAT sebelum SAKIT, KAYA sebelum MISKIN, LAPANG sebelum SIBUK, HIDUP sebelum MATI"

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama merebut lima perkara ini (Muda, Sihat, Kaya, Lapang, Hidup) sebelum datang kepada kita lima perkara yang berikutnya (Tua, Sakit, Kaya, Sibuk, Mati). Gunakanlah kesempatan yang diberikan ini untuk merasai saat-saat indah kita bersama keluarga.. Sementara ibu dan bapa, adik beradik, saudara mara kita masih muda.. sementara mereka dan kita masih sihat.. sementara kita diberikan sedikit kesenangan dan kelapangan.. dan sementara kita dan mereka masih hidup.. peruntukkanlah sedikit masa kita untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan silaturrahim bersama ahli keluarga.. Akhir kalam, selamat berhujung minggu. Semoga hujung minggu anda dan saya dipenuhi dengan perkara-perkara yang bermanfaat..



Wednesday, January 19, 2011

ADAKAH ANDA BENAR-BENAR IKHLAS??

Baru-baru ini, saya terbaca satu kisah mengenai ikhlas dalam sebuah akhbar. Ianya sangat menarik dan menyentuh perasaan. Terfikir sejenak di minda adakah selama ini saya benar-benar tergolong dalam golongan orang yang ikhlas?? Tidak kiralah sama ada ikhlas dalam melakukan ibadat, ikhlas dalam pekerjaan, ikhlas dalam perhubungan, dll.... saya kurang pasti jawapannya. Ini kerana, kadangkala, hati seringkali merungut apabila disuruh melakukan sesuatu kerja, tidak berpuas hati dengan apa yang diperolehi, kemalasan apabila hendak melakukan ibadat kerana letih dan macam-macam lagi rungutan dan sungutan tanda protes.. Ikhlaskah namanya itu??


Ikhlas ialah sikap seorang hamba dalam menjalin hubungan dengan Allah. Apabila seorang hamba itu melaksanakan tuntutan agama dan menjauhi tegahan agama semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah dan takut kepada kemurkaan-Nya, maka itulah yang dinamakan ikhlas. (HafizFirdaus.com) 


Namun, apabila terbaca tentang artikel "ORANG IKHLAS ITU KUAT" di dalam akhbar tersebut, hati terpanggil untuk berkongsi kisah tersebut bersama pembaca sekalian kerana saya percaya tidak semua orang berkesempatan membacanya. Niat saya, biarlah apa yang saya rasa itu (selepas membaca artikel tersebut) tidak hanya dirasai oleh saya sahaja, tetapi biarlah manfaatnya juga dapat dirasai dan diinsafi oleh orang lain. InsyaAllah..


Jadi, marilah kita sama-sama menghayati kisah di bawah. Semoga manfaat dan faedahnya sampai kepada kita untuk renungan bersama..
Ada seorang jejaka terjumpa buku di taman. Dalam buku itu tertulis nama dan alamat pemiliknya, dan juga tertera 'Aisyah yang sedang mencari sahabat hati'.



Tergerak hati jejaka itu mengutus surat dan mengembalikan buku kepada si gadis misteri itu. Beberapa hari kemudian si jejaka mendapat balasan daripada gadis tersebut bahawa dia bersetuju berkawan dengan si jejaka, dan berterima kasih kerana menghantar buku yang hilang itu.

Hari berganti minggu dan minggu bertukar bulan. Persahabatan mula bertukar kepada perasaan sayang. Namun begitu mereka belum pernah bertemu.

Si jejaka amat teringin bertemu si gadis misteri dan begitu juga dengan si gadis.

Pada suatu hari, si jejaka dipanggil berkhidmat misi ketenteraan di luar negara. Si jejaka susah hati kerana bimbang dia mungkin tidak dapat berjumpa dengan gadis kesayangannya.


Maka ditulis sepucuk surat berbunyi:
"kalau Allah panjangkan jodoh kita, dan kamu masih sayang padaku, kita akan berjumpa suatu hari nanti. Aku akan memakai pakaian tenteraku dan membawa sekuntum mawar berwarna merah. Aku akan mengenalimu sekiranya kamu juga memegang sekuntum bunga mawar merah. Setelah itu izinkanlah aku membawamu untuk makan malam bertemu orang tuaku."

Selang beberapa tahun, pada hari kepulangan si jejaka yang diangkat sebagai perwira negara, si gadis setia itu menunggu kepulangan buah hatinya, sambil memegang sekuntum bunga mawar merah.

Diperhatikan setiap jejaka yang membawa sekuntum bungan mawar merah, seperti dalam perjanjian mereka dahulu. Begitu juga si jejaka berdebar-debar bertemu orang yang disayangi.

Tiba-tiba, si jejaka ternampak gadis yang gemuk, hitam, berjerawat, duduk di atas kerusi roda sambil melihat sekeliling persis mencari seseorang.

Kakinya kudung dan tangannya memegang sekuntum mawar merah. Si jejaka sangat terkejut melihat keadaan fizikal dan wajah gadis pujaannya selama ini amat berbeza daripada imaginasinya.

Namun dia memberanikan diri menghampiri gadis tersebut dan menyapa, Aisyah? Gadis itu melihat ke arah si jejaka dan tersenyum ceria. Si jejaka terus menghulurkan bunga mawar kepada si gadis dan berkata: "Aku amat merinduimu. Terimalah bunga ini dan pelawaanku untuk makan malam bersama ibu bapaku. Orang tuaku tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu denganmu."

Si gadis itu tersenyum lagi dan berkata: "Aku tidak tahu apa yang terjadi. Tetapi ada seorang gadis cantik jelita memberikan bunga ini kepadaku sebentar tadi. Dia memintaku memberitahu kamu bahawa dia sedang menunggu kamu di restoran di hadapan ini sekiranya kamu mempelawaku makan malam dan bertemu orang tuamu."

Berapa ramaikah lelaki yang sesuci hati jejaka ini? Dia mengotakan janjinya dan tetap berpegang kepada perasaan sayang walaupun pada mulanya dia menjangkakan gadis cacat itu adalah Aisyah. Masihkah wujud lelaki seikhlas dan seluhur hati pemuda itu?
Kesimpulannya,  adakah kita benar-benar ikhlas menyintai dan menyayangi serta menerima setiap kelemahan dan kekurangan yang ada pada pasangan kita?? Tepuk dada, tanyalah hati kerana hanya hati yang mengetahui jawapannya. Kalau benar-benar anda menyintai dan menyayangi pasangan anda, terimalah ia seadanya kerana manusia itu tiada yang sempurna. Usahlah kita asyik mencari kesempurnaan sedangkan kesempurnaan itu hanyalah milik Sang Pencipta Alam Buana ini iaitulah Allah SWT.

Saya percaya, jika kita sentiasa ikhlas dalam setiap amalan dan pekerjaan kita, nescaya kemanisan dan kenikmatannya akan kita temui di penghujungnya. Jika tidak di dunia ini, insyaAllah kemanisannya kita akan kecapi di akhirat nanti. Seperti kisah pemuda di atas yang benar-benar ikhlas ingin menjadikan wanita cacat dan buruk yang disangkanya Aisyah sebagai kekasih hatinya, akhirnya bertemu kemanisan apabila gadis cacat itu bukanlah Aisyah yang sebenar. Semoga kisah ini dapat mendorong para pembaca dan saya untuk sentiasa ikhlas dalam melakukan setiap perkara. Akhir kata, semoga kita sama-sama tergolong dalam golongan orang-orang yang ikhlas dan sentiasa bertambah keikhlasannya.. amiin.
Wallahua'lam.






 

Friday, January 14, 2011

HUJAN EMAS DI NEGERI ORANG

Kata orang,
"HUJAN EMAS DI NEGERI ORANG
HUJAN BATU DI NEGERI SENDIRI
LEBIH BAIK NEGERI SENDIRI.."

Tapi itu kata orang..
Bagi abang saya, hujan emas di negeri orang juga yang dicarinya
Hujan emas di negeri orang bisa menjanjikan pulangan yang lumayan buatnya dan keluarga..
Biar ramai orang yang menghalangnya, dia tetap dengan pendiriannya -- Hujan emas di negeri orang lebih baik dari hujan batu di negeri sendiri..

Apa yang saya boleh katakan..
Semoga Hujan Emas di Negeri Orang itu akan menjanjikan seribu kemanisan hidup yang dicari-carinya selama ini..
Semoga  Hujan Emas di Negeri Orang itu tidak akan membuatkan dia lupa akan orang-orang di Negeri Hujan Batu ini terutamanya Emak..
Emak antara orang yang menghalang pemergiannya ke Negeri Hujan Emas itu..
Namun terpaksa akur dengan kehendak abang yang tetap dengan pendiriannya mahu pergi ke Negeri Hujan Emas itu..

Kata abang, biarlah dia pergi kerana dia tidak berpelajaran tinggi..
Inilah peluangnya untuk merasa tinggal di Negeri Hujan Emas dan seterusnya mencari pendapatan lebih bagi meningkatkan taraf  kehidupannya dan keluarga
Esok dia akan berangkat ke Negeri Hujan Emas itu bersama ahli keluarganya setelah kurang lebih 3 bulan dia pergi sendirian di Negeri Hujan Emas itu..

Aku, emak dan adik akan menghantarnya ke KLIA selepas suboh esok hari..
Emak redha dalam kepasrahan..




Wednesday, January 12, 2011

KU HARAP PANAS SAMPAI KE PETANG..

Baru balik daripada makan tengahari di rumah mak
Alhamdulillah, cuaca tengahari ini cerah secerahnya..
Sang suria memancarkan cahayanya menerangi bumi Masjid Tanah sekali lagi
Biarpun semalam sang suria berselindung di balik mega mendung nan gelap dan menitiskan titis-titis hujan yang lebat berserta kilat petir sabung menyabung
Dan itu memaksa saya untuk tidak pulang ke rumah sewa di Selandar setelah isteri membenarkan saya untuk bermalam di rumah emak kerana khuatir suaminya akan kebasahan di timpa hujan yang ketika itu tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti

Tapi hari ini, syukur..
Sang mentari sudah menampakkan wajahnya yang bersinar cerah biarpun terik cahayanya kadangkala membuatkan kita kurang selesa
Namun, jauh di lubuk hati, saya mengharapkan sang mentari akan terus bersinar hingga ke petang supaya saya boleh pulang bertemu dengan isteri yang tersayang..
Dalam masa yang sama, kasihan juga melihat emak yang kini terpaksa tinggal keseorangan selepas saya dan isteri berpindah ke Selandar.

Hajat di hati memang ingin tinggal bersama emak.. namun situasi isteri yang baru bertukar dan ditempatkan di Kolej Komuniti Selandar membuatkan kami terpaksa menyewa di Selandar. Tambah merumitkan keadaan apabila isteri tidak tahu memandu apatah lagi memiliki lesen memandu. Jarak perjalanan dari Masjid Tanah ke Selandar pula memakan masa kurang lebih satu jam. Mahu tak mahu sayalah yang terpaksa berkorban berulang alik dari Selandar ke Masjid Tanah dan pulang ke rumah emak pada hujung minggu.

Serba salah dibuatnya. Yang sini emak, yang sana isteri.. Kedua-duanya perlukan perhatian tambah-tambah lagi emak. Biarpun emak faham dan mengerti situasi yang kami hadapi sekarang ini, namun jauh di sudut hati, saya tahu emak menginginkan kami tinggal bersama dengannya. Saya juga lihat, isteri tiada masalah untuk tinggal bersama ibu mertuanya (harap-harapnya, keadaan ini akan berterusan sampai bila-bila).

Dahulu, saya akui, saya jarang memikirkan perasaan dan keadaan emak. Malah pernah saya menyewa di rumah lain sedangkan sewaktu itu emak tinggal berdekatan dengan rumah yang saya sewa. Apabila saya mendapat kerja di matrikulasi ini, saya lebih rela menyewa daripada tinggal bersama emak (ketika itu emak belum berpindah ke kampung). Apabila saya tahu emak hendak membuat rumah di kampung, saya mohon bertukar ke bandar Melaka. Saya tidak mahu tinggal bersama emak.. Saya janggal bila bersama emak.. Komunikasi antara kami juga kelihatan begitu canggung. Untuk menerangkan segala sebab musabab saya berasa janggal dengan emak adalah terlalu panjang dan peribadi untuk diceritakan di sini. Secara ringkasnya, itulah sedikit gambaran tentang hubungan saya dan emak dan mungkin juga dengan adik beradik yang lain suatu ketika dahulu.

Saya tak pasti bila perasaan itu bertukar menjadi sayang biarpun saya tidak pernah menzahirkannya dengan kata-kata (kerana saya bukanlah dalam kategori insan yang mempamerkan kasih sayangnya secara terang-terang) di depan emak. Namun, hakikatnya saya mula mengambil berat tentang emak. Mungkin kadang-kadang hati saya membentak, tapi bila memikirkan hati dan perasaan emak, saya turutkan juga kemahuan emak. Saya juga sudah tidak berasa janggal berkomunikasi dan tinggal serumah dengan emak. Setelah emak membuat rumah dan berpindah ke kampung, saya yang baru bertukar ke bandar Melaka, kembali membuat surat permohonan pertukaran untuk kembali ke tempat kerja lama kerana kasihan melihat emak yang tinggal sendirian di kampung.

Dan mungkin berkat doa emak, alhamdulillah permohonan saya itu diterima biarpun mengikut logiknya permohonan saya mungkin tidak akan diluluskan kerana saya baru saja bertukar di Melaka. Dan kini, saya sekali lagi mengharapkan keajaiban itu berlaku biarpun kali ini situasinya melibatkan isteri saya. Saya benar-benar mengharapkan isteri saya dapat berpindah ke tempat yang lebih dekat supaya saya dapat kembali tinggal bersama emak. Biarpun hubungan kami pernah bermasalah sebelum ini, tapi kini saya benar-benar ingin tinggal bersama emak. Berbakti kepadanya.. Menebus kembali dosa-dosa saya kepadanya.. Menjaga dan menyayanginya sementara hayatnya dan juga hayat saya masih ada. Setiap kali saya pulang ke rumah untuk makan tengahari, emak akan menghantar saya dengan sorotan matanya di pintu gate rumah yang mana aksi itu jarang saya lihat ketika saya tinggal bersamanya dulu.. Saya akui, saya mungkin bukan anak yang baik, tapi saya sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik. 
Bukankah syurga seorang anak lelaki itu letaknya di bawah telapak kaki ibu meskipun dia sudah berkahwin?? (Alangkah bagusnya jika abang-abang saya juga mengerti akan hakikat itu...)

Semoga sinar mentari itu akan terus bersinar hingga ke petang agar dapat saya merasakan kehangatan panasnya meskipun kehgatan panas itu bisa membakar diri ini..