Pages

Thursday, October 27, 2016

DI MANA ADA KEMAHUAN, DI SITU ADA JALAN

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatulllahi wabarakatuh.

Lama dah tak bersiaran.. terasa janggal untuk menulis semula.Selalu saya jenguk je dan tak terasapun nak menaip kat sini. Tapi hari ni.. entah magic apa yang memaksa saya untuk mencatat sesuatu di sini.

Setahun lebih sudah saya meninggalkan dunia blogging ni.. nak ikut kan, saya ni pun bukanlah blogger tegar.. hehe. memang selalu je ditinggalkan blog ni sampai bersawang. Takpa lah.. asalkan masih bernyawa blog saya ni.. kira ok la tu

OK.. hari ni saya nak berkongsi sedikit kisah motivasi yang bertajuk.. 
"DI MANA ADA KEMAHUAN, DI SITU ADA JALAN"

Wahh..!! macam nak berpidato pulak.. hehe. Sebenarnya, artikel "DI MANA ADA KEMAHUAN, DI SITU ADA JALAN" ni saya simpan dah lama. Baru hari ni saya dapat kongsikan dengan anda.

Baiklah kisahnya begini..

"DI MANA ADA KEMAHUAN, DI SITU ADA JALAN"

Suatu masa dahulu, ada seorang raja bernama Bruch. Sudah enam kali baginda memimpin pasukan tenteranya menentang musuh, namun setiap kali bertempur, pasukannya tewas. Baginda terpaksa melarikan diri ke dalam hutan. Baginda sendiri terpaksa bersembunyi di sebuah pondok buruk di dalam hutan itu. Suatu hari ketika sedang tidur, hujan lebat melanda hutan itu. Air hujan mengalir dari atap pondok yang bocor dan menitis ke atas mukanya.

Raja ini terbangun dari tidurnya. Ketika itu dia segera terkenang nasib malangnya yang gagal dalam setiap pertempuran walaupun bala tenteranya telah mencuba sedaya upaya untuk mengalahkan musuh. Semakin baginda memikirkan hal ini, hatinya semakin pedih dan hampir putus asa. Baginda mendongak dan secara tiba-tiba terpandang seekor labah-labah sedang bekerja keras mengait sarangnya di atas kayu alang kepala tempat baginda tidur itu. 

Bruch memerhati dengan tekun gerak-geri labah-labah itu. Baginda menghitung sudah enam kali labah-labah itu cuba menyambung salah satu hujung 'benang' ke kayu yang berada di seberangnya. Walaupun labah-labah itu mencuba dengan sedaya upayanya, benang itu gagal disambung ke kayu berkenaan. Setiap kali benang itu cuba dikaitkan ke kayu tersebut, ia terputus.

"Kasihan sungguh makhluk kecil ini" kata Bruch. 

"Sepatutnya kamu menyerah sahaja!"

Baginda merasakan tidak ada harapan sedikitpun bagi labah-labah itu mengaitkan benang tersebut ke kayu berkenaan. Tetapi, di luar jangkaannya, walaupun sudah enam kali gagal dalam percubaannya mengaitkan hujung benang tersebut, labah-labah itu tidak pernah putus asa atau berhenti mencuba.

Dengan sisa-sisa tenaga yang ada, labah-labah itu mencuba lagi untuk kali ketujuh dan kali ini dia berjaya! Melihat keadaan itu, Bruch kagum dengan semangat labah-labah itu dan lupa kepada nasib dirinya. Baginda berdiri dan menarik nafas panjang. Lalu, dengan lantang berteriak, "Aku juga akan bertempur lagi untuk kali yang ketujuh!"

Bruch akhirnya benar-benar mendapat kembali semangatnya. Dia segera mengumpul dan melatih bala tenteranya yang masih ada. Tanpa membuang masa, baginda mengatur strategi dan menggempur lagi pertahanan musuh. Dengan segala daya upaya dan semangat kental serta perjuangan yang tidak pernah menyerah kalah, akhirnya baginda berjaya menewaskan pasukan musuh dan berjaya merampas kembali negaranya.

Moral:
Jangan mudah menyerah kepada keadaan. Apabila kita terus berusaha, tidak ada suatu perkara pun yang mustahil kita peroleh. DI MANA ADA KEMAHUAN, DI SITU ADA JALAN.

*********************************

So, saya harap kisah ini dapat memberi sedikit motivasi untuk dan saya dan para pembaca sekalian. Jangan pernah berputus asa.. Kalau kita inginkan sesuatu, berusahalah dengan bersungguh-sungguh dan sebagai seorang Islam, jangan lupa untuk meminta dan berdoa kepada Allah. Setelah kita berusaha, serahkanlah usaha kita tersebut dengan bertawakkal kepada-Nya. Jika Allah izinkan, in shaa Allah ianya pasti menjadi milik kita. In shaa Allah.

Wallahu a'lam